Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), disusuli timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi siaran langsung pengumuman senarai Jemaah Kabinet baharu hari ini.
Dalam pembentukan Kabinet baharu, terdapat 31 menteri serta 32 timbalan menteri yang dilantik di mana 80 peratus daripadanya merupakan wajah-wajah lama dalam Kabinet terdahulu.
Jelas Ismail, barisan Kabinet baharu yang dipilih ini merupakan kombinasi mereka yang berpengalaman dan diyakini mampu membantu negara mendepani krisis pandemik Covid-19.
Dalam masa sama, tiada jawatan bagi Timbalan Perdana Menteri yang dinamakan kali ini, sebaliknya Perdana Menteri didukung oleh empat menteri kanan.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal menjawat Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), dengan dibantu timbalannya Datuk Lim Ban Hong.
Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.