Siakap Keli

TERKINI: Khairy Jamaluddin Dilantik Menteri Kesihatan

Khairy Jamaluddin secara rasminya dilantik menjadi Menteri Kesihatan, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Posisi Khairy didukung oleh dua timbalannya, iaitu Timbalan Menteri Satu, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Dua, Datuk Aaron Ago Dagang.

Ismail mengumumkan sedemikian dalam siaran langsung pengumuman barisan jemaah Kabinet baharu kerajaan hari ini.

Dalam jemaah Kabinet baharu kali ini, terdapat 31 menteri serta 32 timbalan menteri yang dilantik, 80 peratus daripadanya merupakan wajah-wajah lama dalam Kabinet terdahulu.

Jelas Ismail, barisan kementerian yang dilantik hari ini adalah merupakan kombinasi mereka yang berpengalaman membantu negara mendepani krisis pandemik COVID-19.

Dalam masa sama, tiada jawatan bagi Timbalan Perdana Menteri yang dinamakan kali ini, sebaliknya Perdana Menteri didukung oleh empat menteri kanan.

Empat menteri kanan berkenaan adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Haji Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin serta Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengimbas kembali, KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis semalam.

Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.