Terdapat sebuah kejadian lucu di mana seekor cimpanzi telah meniru gelagat seorang pengunjung yang sedang melakukan aktiviti tekan tubi atau push-up di sebuah zoo. Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Kota Chongqing, China, 23 Ogos lalu.
Pada waktu itu, seorang pengunjung lelaki telah melakukan push-up di sebalik cermin kaca zoo berkenaan. Cimpanzi jantan yang berusia 20 tahun itupun ternampak dan terus meniru pergerakan pengunjung tadi. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di hadapan lalu menurunkan badan ke lantai secara beberapa kali. Cimpanzi tersebut kelihatan tidak kekok, malah lancar seperti seorang manusia.

Lebih melucukan apabila cimpanzi tersebut berjaya melakukan push-up, dia terus bangkit dan berposing di hadapan orang ramai seolah-olah membuktikan kehebatannya. Orang ramai kelihatan sangat kagum dengan aksinya itu.
Menurut portal, Cimpanzi atau nama samarannya Yu Hui, pernah membuat aksi lucu yang lain pada tahun 2019. Dia telah membersihkan kemeja putih dengan berus dan sabun setelah melihat penjaganya melakukan tugas tersebut. Jurucakap di Taman Tema Lehe Ledu berkata bahawa kakitangan di situ sengaja berbuat demikian untuk mengetahui adakah haiwan itu akan mempelajari tindakan mereka.
Sebaik sahaja Yu Hui dilepaskan, dia langsung menuju ke kemeja putih itu tadi lalu mencelupkannya ke dalam air sebelum menggosok sabun ke atas kemeja secara berulang kali. Dia kelihatan sangat menikmati proses mendobi selama 30 minit itu.
Sebuah fakta menarik mengenai tabiat cimpanzi, di mana pada tahun 2017, para penyelidik di Sweden mendapati bahawa cimpanzi merupakan antara haiwan yang suka meniru perbuatan manusia seperti menepuk tangan, menampar kepala dan menggaru ketiak. Kajian itu dilakukan ke atas sekumpulan lima ekor cimpanzi dan kira-kira seribu orang pengunjung manusia di Zoo Furuvik Sweden dan Universiti Lund, lapor Mail Online.
Tambah portal itu lagi, para saintis mendapati kira-kira 10 peratus daripada tindakan yang dilakukan oleh manusia atau cimpanzi di zoo binatang adalah hasil tiruan daripada interaksi spesies-spesies yang lain. Seorang penyelidik bernama Dr Gabriela-Alina Sauciuc berkata, “Kajian kami adalah yang pertama memerhati dan menyiasat secara sistematik adakah cimpanzi yang tinggal di zoo akan meniru perbuatan pengunjung.”
Menurutnya lagi, “Kami menemui sisi sosial dan komunikasi cipanzi. Mereka meniru tindakan yang biasa seperti bertepuk tangan dengan sengaja sambil melihat ke arah individu yang menghasilkan tindakan tersebut. Dalam beberapa kes, mereka bahkan berusaha untuk mendekati individu tersebut.”
Sumber: Mail Online