Siakap Keli
Gambar hiasan | Google

Boleh Ke Campur Makanan Laut & Darat Dalam Masakan? Ini Penjelasan Mufti

Baru-baru ini, mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi tentang resipi hidangan makanan tradisi masyarakat Terengganu, iaitu sughe.

Dalam perkongsian di laman Facebooknya itu, Dr. Zulkifli menceritakan tentang bahan-bahan yang digunakan untuk memasak sughe. Jelasnya, bahan yang digunakan adalah tumisan bawang, halia, lengkuas, daging, ikan, jagung, ayam, pucuk ubi kayu, nasi dan rempah-ratus.

Gambar: FB Dr. Zulkifli

Manakala daging yang digunakan pula kebiasaanya adalah daripada lebihan daging korban. Namun berdasarkan senarai bahan tersebut, timbul persoalan daripada netizen tentang campuran makanan laut dan darat dalam satu masakan.

Ini kerana ramai yang pernah mendengar mengenai pantang-larang tidak boleh mencampurkan antara makanan laut dan darat bersama-sama. Ikan jangan dimakan dengan daging. Ayam tak boleh dimakan dengan ikan dan seumpamanya lagi.

Bagi menjawab soalan tersebut, Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa kekeliruan ini telah pun dijawab pada 2018 lalu. Oleh itu, mari kita fahami penjelasan hukum dan penerangannya melalui laman portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seperti di bawah ini.

Irsyad al-Hadith siri ke-247: campur makanan laut dan darat

Soalan: Adakah terdapat hadith berkaitan larangan mencampur antara makanan laut dan darat?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perintah memakan daripada rezeki atau hasil yang halal lagi baik merupakan perintah daripada Allah SWT kepada orang-orang beriman dan juga kepada para rasul.

Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat al-Quran yang menunjukkan akan tuntutan bagi setiap insan itu untuk memakan daripada hasil atau rezeki yang halal lagi baik.

Ini kerana, makanan yang halal lagi baik itu merupakan salah satu faktor utama kemustajaban doa seseorang hamba itu. Antara firman Allah SWT yang menunjukkan akan tuntutan tersebut adalah:

  • Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

[al-Baqarah:172]

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka.

Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadat sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 480/1]

Berdasarkan soalan di atas, setelah kami menekuni berkaitan isu ini maka kami katakan bahawa tiada larangan sama ada daripada al-Quran ataupun hadith Nabi SAW berkaitan mencampurkan makanan di antara makanan laut dan darat ketika makan.

Akan tetapi, jika ilmu sains membuktikan bahawa dengan mencampurkan antara makanan darat dan laut akan menyebabkan mudharat maka ia perlulah dijauhi.

Di samping itu juga, berkemungkinan amalan tidak mencampur di antara makanan darat dan laut adalah merupakan petua orang-orang tua terdahulu kerana adat orang-orang dahulu adalah dengan tidak mempelbagaikan laut pauk ketika menjamu selera.

Selain itu juga, kita perlulah meraikan adab-adab ketika makan seperti tidak berlebih-lebih dalam menjamu selera dan juga tidak berlaku sebarang pembaziran.

  • Sabda Nabi SAW:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya. Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.” [Riwayat al-Tirmizi (2380)][Hadith ini dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi]

Penutup

Kesimpulannya, tidak terdapat ayat al-Quran ataupun hadith Nabi SAW melarang mencampurkan makanan laut dan darat ketika makan. Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam agama.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar dapat kita beramal dengannya serta sampaikannya kepada orang lain. Amin. Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.