Siakap Keli
Gambar Via The Guardian

Dipercayai Berusia Lebih 7000 Tahun, Ahli Arkeologi Temui DNA Tengkorak Purba Di Indonesia

Ahli arkeologi dilaporkan telah menemui tengkorak manusia yang dipercayai berusia 7,200 tahun di Indonesia.

Penemuan tersebut dikatakan dapat dikaitkan dengan penghijrahan awal manusia yang tidak pernah ditemui di mana-mana tempat sebelum ini.

Menurut The Guardian, tengkorak tersebut milik seorang remaja yang dinamakan Bessé, ia ditemukan di gua Leang Panninge di Pulau Sulawesi, Indonesia.

Penggalian awal di kawasan itu telah dilakukan sejak tahun 2015.

Diterbitkan di dalam jurnal Nature, ia merupakan kali pertama penemuan DNA manusia purba dari wilayah pulau yang luas antara tanah besar Asia dan Australia.

Difahamkan, DNA itu telah diekstrak dari bahagian kelopak tulang temporal, yang menempatkan telinga dalam.

Profesor Universiti Griffith, Adam Brumm yang bersama-sama mengetuai penyelidikan itu mengatakan bahawa DNA tersebut adalah penemuan yang jarang berlaku.

Gambar Via The Guardian

“Kawasan tropika lembap boleh menyukarkan pemeliharaan DNA pada tulang dan gigi manusia purba.

“Hanya ada satu atau dua tengkorak pra-neolitik yang telah menghasilkan DNA purba di seluruh daratan Asia Tenggara.

“Analisis DNA kuno merevolusikan pemahaman kita tentang kisah awal manusia dari segi kepelbagaian genetik manusia purba, pergerakan penduduk dan sejarah demografi,” katanya.

Sementara itu, para penyelidik menggambarkan Bessé sebagai ‘fosil genetik’.

Penjujukan genetik menunjukkan bahawa remaja itu mempunyai sejarah nenek moyang yang unik yang tidak dikongsi oleh manusia yang hidup pada hari ini.

Kira-kira separuh daripada susunan genetik itu sama dengan orang Asli Australia sekarang dan orang-orang dari New Guinea serta pulau-pulau Pasifik Barat.

“Nenek moyangnya mungkin menjadi bahagian dari gelombang awal pergerakan manusia purba dari daratan Asia melalui pulau-pulau Wallacean menuju ke Sahul, yang merupakan gabungan daratan pada masa lalu di Australia dan New Guinea,” kata Adam lagi.

Bessé juga merupakan tengkorak pertama yang diketahui berasal dari budaya Toalean iaitu sekumpulan pemburu yang tinggal di Sulawesi Selatan antara 1,500 dan 8,000 tahun yang lalu.

Sumber: The Guardian

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.