Manfaat pendidikan bukan saja membolehkan seseorang membaca, menulis dan mendapatkan kerjaya yang hebat tetapi lebih dari itu. Pendidikan membuka ruang untuk kehidupan yang lebih baik dan mengubah sesuatu yang mungkin sebelum ini sukar untuk diatasi.
Nampaknya itulah yang dilakukan oleh seorang warga emas di China ini yang berusaha belajar sendiri mengenai undang-undang selama 16 tahun untuk menyaman pihak yang telah menyebabkan pencemaran di kampungnya.
Kisahnya itu telah tular pada tahun 2017 dan mendapat liputan meluas media di seluruh dunia.
Ketika itu, Wang Enlin yang berusia 64 tahun telah memenangi kes yang menentang syarikat kimia terbesar di China, Qihua Group.

Bertekad mendapatkan keadilan
Dia telah bertekad untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya dan juga penduduk kampung yang lain kerana mereka tidak dapat bercucuk tanam disebabkan keadaan tanah yang tercemar.
Wang yang tinggal di kampung Yushutun di Wilayah Heilongjiang dan bekerja sebagai petani telah belajar mengenai undang-undang dengan menggunakan satu buku teks dan kamus.
Mengingat kembali detik perit yang dilaluinya, Wang mengatakan bahawa dia tidak akan pernah lupa mengenai tanahnya yang dibanjiri oleh sisa toksik yang dibuang oleh Qihua Group pada tahun 2001.

Bukan itu sahaja, ada sesetengah rumah penduduk juga turut dimasuki sisa tersebut.
Difahamkan, syarikat itu telah menghasilkan polivinil klorida dan mengeluarkan 15,000 hingga 20,000 tan sisa kimia setiap tahun.
Pada tahun 2001, Wang telah menulis surat kepada Biro Sumber Qiqihar untuk mengadu mengenai pencemaran itu tetapi dia berulang kali diminta untuk mengemukakan bukti bahawa tanah kampung itu telah tercemar, lapor Daily Mail.
“Saya tahu saya betul tetapi saya tidak tahu mengenai undang-undang yang boleh disabitkan ke atas syarikat itu,” katanya.
Tiada duit nak beli buku
Bermula dari situ, Wang memutuskan untuk belajar undang-undang sendiri dan ia pembelajaran yang berterusan sehingga 16 tahun.
Ketika itu, dia tidak mempunyai duit untuk membeli buku, jadi dia menghabiskan hari-harinya dengan membaca buku di kedai buku berdekatan dan menulis maklumat yang berkaitan tanpa menggunakan alat yang canggih seperti komputer.

Dia telah memberikan jagung percuma kepada pemilik kedai sebagai balasan kerana bermurah hati membenarkannya membaca semua buku di situ.
Berbekalkan ilmu undang-undang yang dipelajarinya, dia juga telah membantu jirannya mengumpulkan bukti berkaitan pencemaran di tanah mereka.
Dapat pampasan
Setelah itu, sebuah firma undang-undang China telah memberikan khidmat nasihat percuma kepada Wang dan jiran-jirannya serta bersetuju untuk membantu penduduk kampung mengemukakan petisyen ke mahkamah pada tahun 2007.
Pun begitu, disebabkan beberapa kesulitan yang tidak dapat dielakkan, proses perbicaraan hanya dapat bermula pada tahun 2015 iaitu lapan tahun setelah petisyen asal dibuat.
Mahkamah Daerah Angangxi Qiqihar telah memutuskan bahawa penduduk kampung itu akan menerima wang pampasan daripada Qihua Group sebanyak 820,000 yuan (RM530,773).
Ia tidak akan berlaku tanpa usaha yang dilakukan oleh Wang dan penduduk kampung tersebut untuk mendapatkan keadilan buat diri mereka.
Sumber: Daily Mail, The Straits Times