Setiap kerja berat yang melibatkan peralatan mesin perlulah menggunakan sebarang alat keselamatan tertentu mengikut jenis kerja tersebut. Jika tidak, padah bakal menanti.
Bukan apa, banyak kes pernah dilaporkan media selama ini mengenai kemalangan tidak dijangka ke atas mereka yang tidak mengutamakan keselamatan.
Baru-baru ini, tular satu video di Twitter memaparkan aksi seorang lelaki yang memotong pokok kelapa yang sangat tinggi, dipercayai berlaku di Indonesia.
Berdasarkan rakaman tersebut, lelaki itu memulakan pemotongannya dengan memanjat ke puncak pokok tanpa tangga, sebelum memotong pelepah satu per satu menggunakan gergaji mesin.
Apabila semua pelepah kelapa selesai dipotong, dia mula berganjak turun ke bawah dan memotong batang pokok tersebut secara sedikit-sedikit.
Keadaannya agak berbahaya kerana dia tidak memakai sebarang tali, kedua-dua kakinya berpaut pada batang pokok sambil tangannya mengendalikan gergaji tersebut.
Menerjah ke ruangan komentar, ramai netizen yang mempersoalkan tindakannya; kenapa tidak potong terus dari pangkal pokok di bawah kerana ia lebih mudah.
Namun jika dilihat pada video, tindakan lelaki itu berbuat demikian adalah kerana mungkin tidak mahu pokok tersebut tumbang menghempap kawasan rumah di sekitarnya.
Sebab itu dia memotong pendek-pendek sehingga habis. Bagaimanapun tindakannya itu sangat membimbangkan kerana tiada sebarang alat keselamatan digunakan.
Video yang dirakam menggunakan dron tersebut telah ditonton sebanyak lebih 75,000 kali setakat artikel ini ditulis.
— Republik Wakanda (@republikwakanda) August 27, 2021
Sumber: Twitter