Seekor ular sawa Burma sepanjang 4.5 meter ditemui mati dalam keadaan perutnya terburai, dipercayai kerana menelan seekor lembu baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku di wilayah Phitsanulok, Thailand itu dirakam oleh seorang penduduk yang juga merupakan pemilik kepada lembu berkenaan.
Memetik laporan Mirror, pada awalnya individu tersebut mendakwa lembunya yang berusia dua tahun itu hilang selama tiga hari.
Usaha pencarian dijalankan sehinggalah dia menemui bangkai seekor ular sawa dewasa di sebalik semak-samun dalam keadaan perutnya terburai.
Wakil penduduk, Nirun Leewattanakul mendakwa, reptilia tersebut mungkin berasa terlalu lapar hingga terpaksa menelan seekor lembu yang lebih besar daripadanya.
Bagaimanapun jelasnya, setelah lembu malang itu berjaya ditelan, perut ular tersebut dipercayai terlalu besar dan mula membengkak.
Akibatnya, gara-gara tidak mampu menampung beban saiz lembu tersebut, akhirnya ular sawa itu mati kerana dipercayai perutnya terburai dan meletup.
Penemuan bangkai ular itu memaksa sebahagian penduduk mencari kesan tinggalan lain yang memungkinkan bahawa terdapat lembu lain yang turut menjadi mangsa.
Namun hasil pencarian mendapati hanya lembu itulah satu-satunya mangsa yang sempat ditelannya sebelum mati.
Menurut Leewattanakul lagi, usia ular sawa malang itu didakwa sudah menjangkau hampir lapan tahun setakat ini.