Siakap Keli
Kredit: JSPT KL

978 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Samseng Jalanan Selama Dua Hari

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur telah mengadakan Operasi Samseng Jalanan/Operasi Motosikal/Op Pelbagai Kesalahan selama dua hari, bermula 28 dan 29 Ogos. Operasi tersebut dijalankan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur, iaitu Jalan Bangsar, Lebuhraya AKLEH dan Lebuhraya Duke.

Operasi ini turut melibatkan Unit Penguatkuasaan dan Risikan Operasi, JSPT KL dengan kekuatan 7 Pegawai Kanan dan 46 anggota. Mengikut kenyataan media, pihak berkuasa telah berjaya menahan dan menangkap pesalah-pesalah yang berumur lingkungan antara 17 hingga 33 tahun, di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga boleh mengganggu keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, terdapat juga pesalah yang diletakkan di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955 atas kesalahan menukar nombor pendaftaran asal kepada nombor pendaftaran palsu manakala dua lagi tangkapan didapati mempunyai rekod lampau.

Menurut laporan, sebanyak 978 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi dijalankan.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur memandang serius perkara ini dan akan mempertingkatan operasi dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan samseng jalanan. Semua pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

Sumber: Facebook JSPT KL

Hanis Lyana