Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam sesi sidang media sebentar tadi memaklumkan bahawa rakyat Malaysia perlu berusaha untuk menerima virus COVID-19 sebagai endemik.
Endemik merujuk kepada sebuah wabak yang akan tetap ada dalam sebuah populasi.
Walaupun kadar jangkitan, kematian dan kes masuk ke hospital akibat virus COVID-19 dapat dikurangkan, kita harus menerima hakikat yang kita perlu hidup bersama virus ini.
Menurut Khairy, Malaysia perlu konsisten dengan pendekatan negara lain yang telah beralih ke fasa tersebut.
Kerajaan akan mengumumkan langkah untuk memudahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya tidak terlalu rumit sebelum negara masuk ke fasa endemik.
Norma baharu akan diperkenalkan supaya rakyat Malaysia boleh hidup dengan sihat dan selamat, dalam masa yang sama lebih banyak sektor boleh dibuka dalam norma baharu ini.
Tambah Khairy, SOP pemakaian pelitup muka tidak akan dilonggarkan dalam norma baharu ini, mengambil kira pengalaman negara lain.
Program imunisasi akan terus dijalankan dan masyarakat Malaysia yang perlu menjalani kuarantin kendiri harus menjalaninya dengan penuh tanggungjawab.
Menurut Khairy, Malaysia dijangka beralih ke fasa endemik hujung Oktober nanti.
Sumber: Khairy Jamaluddin