Siakap Keli
Gambar Via Bernama

YB Azalina Berhasrat Hantar Notis Kepada YDP Dewan Rakyat, Mahu Usul Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said telah berhasrat untuk menghantar suatu notis Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menerusi kenyataan media yang dikongsikan Bernama TV, Azalina mengatakan bahawa terdapat gejala yang berleluasa di mana wakil-wakil rakyat telah membelakangi bukan sahaja Parti Politik yang memberikan watikah pencalonan mereka, tetapi juga masyarakat akar umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu.

“Ramai rakyat mempersoalkan, apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajakgadaikan mandat rakyat selepas pilihanraya?,” katanya.

Katanya lagi, beliau amat berbesar hati dengan perbincangan di antara Kerajaan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama Blok Pembangkang dan bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.

“Walau bagaimanapun, saya ingin menyarankan bahawa bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah untuk memperkenalkan “Akta Pemecatan Ahli Parlimen” (Recall Act) di mana pengundi boleh menarik balik mandat yang telah mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka.

“Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baru atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi,” katanya.

Menerusi Rang Undang-Undang tersebut, beliau berharap agar ia menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan Pilihanraya Pecat atau Recall Election di dalam sidang Parlimen September 2021 ini.

Beliau juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan “Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti” di antara ahli-ahli Parlimen yang berminat dan ia adalah bagi memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Sumber: Bernama TV

Sofea

There's always another side to every story