Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Pembantu Kedai Didakwa Lindung Pesalah Trafik Terlibat Kemalangan Maut

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ni atas pertuduhan melindungi pesalah trafik yang terlibat dalam kemalangan maut bagi mengelakkan lelaki itu dikenakan tindakan undang-undang.

S. Thanaraj, 41, didakwa melindungi G. Kesavan, 31, yang tertuduh mengetahui lelaki itu adalah pesalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mahameru, di sini pada 4 pagi, 14 Ogos lepas, mengikut Seksyen 212 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret S. Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin manakala tertuduh diwakili peguam M. Mathavan.

Polis dalam kenyataan hari ini berkata, seorang lelaki telah ditangkap selepas membawa lari pesalah trafik yang terlibat dengan kemalangan maut di sini pada 13 Ogos lepas.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Selayang, pengawal keselamatan Muhammad Danish Jezreel Abdullah, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya Hana Mardhiyah Tamilis Abdullah, 30, di pos pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Rawang, dekat sini pada 6 petang, 23 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, wanita itu yang juga pengawal keselamatan cedera di tangan berikutan pertengkaran itu.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Dis untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak.

Sumber: BERNAMA

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.