Siakap Keli
Gambar Via Florida News Times

Diancam Kemarau Teruk, Sungai Furat Di Syria Dilapor Semakin Kering & Nampak Tanah

Kumpulan bantuan dan jurutera dilaporkan telah memberi amaran mengenai ancaman bencana kemanusiaan di timur laut Syria setelah Sungai Furat (Euphrates) dilihat semakin kering.

Menurut Florida News Times, keadaan yang berlaku di sungai terpanjang Syria itu memberi kesan yang buruk terhadap sumber pendapatan penduduk di mana air dari sungai itu tidak lagi mengalir ke kebun-kebun mereka.

Seorang petani yang berusia 50 tahun, Khaled al-Khamees mengatakan bahawa dia merasakan seolah-olah berada di padang pasir.

Gambar Via Florida News Times

“Kami berfikir untuk meninggalkan kawasan ini kerana tiada lagi air yang tersisa untuk diminum atau mengairi tanaman,” katanya.

Penurunan paras air di empangan hidroelektrik sejak Januari juga ‘mengancam’ pemotongan bekalan air dan elektrik yang membabitkan sehingga lima juta orang. Ditambah dengan pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi, ia amat membimbangkan.

Khaled yang juga merupakan bapa kepada 12 orang anak mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat sungai begitu jauh dari kampungnya sejak beberapa dekad yang lalu.

“Golongan wanita perlu berjalan sejauh tujuh kilometer hanya untuk mendapatkan sebaldi air untuk diminum oleh anak-anak mereka,” katanya.

Sungai Furat ‘terhampar’ sejauh hampir 2,800 kilometer melintasi Turki, Syria dan Iraq.

Ketika musim hujan, air yang mengalir memasuki Syria utara melalui sempadan Turki dan negara yang dilanda perang menuju ke Iraq.

Ia mengalir melalui tiga empangan hidroelektrik yang memberi tenaga dan air minuman kepada berjuta-juta orang.

Tetapi sejak lapan bulan lalu, sungai tersebut menyusut dan meningkatkan risiko turbin empangan terhenti.

Di Empangan Tishrin pula, berlaku juga penurunan paras air yang membimbangkan yang tidak dapat dilihat sejak empangan itu disiapkan pada tahun 1999.

Gambar Via Florida News Times

Gambar yang dikongsikan oleh Agensi Angkasa Eropah telah memaparkan dua gambar satelit yang dirakam pada 5 Mei 2020 dan 7 Mei 2021 yang memperlihatkan penurunan paras air di empangan Tishrin, Syria.

 

 

Sumber: Florida News Times, france24,

Sofea

There's always another side to every story