Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kira-kira 13,000 Waris Belum Mohon Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 – NADMA

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Kira-kira 13,000 waris atau ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 belum membuat permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 (BKPC) yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ketua Pengarah NADMA Datuk Aminuddin Hashim berkata setakat ini pihaknya telah menerima 4,311 permohonan BKPC dengan 3,496 daripadanya layak, lengkap permohonan, serta telah melalui proses verifikasi data daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan bantuan itu.

“Hanya waris si mati bagi kematian berkaitan COVID-19 yang melibatkan warga tempatan di Malaysia sahaja yang boleh memohon bantuan khas ini. Jadi saya ingin menyeru kepada waris untuk membuat permohonan kerana ruang masih terbuka,” katanya dalam sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Beliau berkata setakat semalam, pihaknya telah menyalurkan RM16.1 juta kepada 3,235 waris bagi BKPC dan RM 22.2 juta kepada 16,722 pesakit menerusi Bantuan Khas COVID-19.

BKPC merupakan bantuan sekali bayar RM5,000 diberikan kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan jangkitan virus COVID-19.

Bantuan Khas COVID-19 pula merupakan bantuan RM100 sehari (maksimum 14 hari) bagi mereka yang menerima Perintah Kuarantin COVID-19 dari KKM, menjalani rawatan COVID-19 di wad hospital atau menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) atas arahan KKM.

Berhubung kelewatan pemprosesan permohonan bantuan, beliau berkata ia antara lain disebabkan permohonan berganda, kematian di luar fasiliti KKM, akaun bank tidak aktif, selain terpaksa melihat semula permohonan daripada mereka yang memang sudah disahkan tidak layak mendapat bantuan itu.

Jelasnya tempoh 30 hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen permohonan yang lengkap diperlukan pihaknya bagi memproses permohonan bantuan, termasuk proses verifikasi dan padanan data daripada KKM.

“Kalau data itu ada dalam portal KKM, terus kita boleh proses,” katanya.

Bagi mereka yang masih tidak mendapat jawapan permohonan selepas 30 hari, beliau berkata pemohon boleh menghubungi NADMA melalui emel [email protected] dan [email protected].

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.