Siakap Keli

Rawatan Baharu Membawa Sinar Harapan Kepada Pesakit Kemerosotan Makula Disebabkan Penuaan Jenis Basah, Suatu Punca Utama Kebutaan Manusia Di Dunia

Novartis memperkenalkan brolucizumab untuk membantu pesakit kemerosotan makula disebabkan penuaan jenis basah yang tidak boleh disembuhkan agar mereka dapat menguruskan penyakit ini, dengan itu terus berupaya melihat dan hidup berdikari dengan lebih lama

  • Novartis melancarkan brolucizumab, iaitu suntikan anti-VEGF (penyekat faktor pertumbuhan endotelium vaskular) untuk merawat kemerosotan makula disebabkan penuaan jenis basah (wet AMD)
  • Wet AMD ialah penyakit mata yang kronik dan progresif. Penyakit ini menyerang golongan tua dan boleh mengakibatkan pesakit menjadi buta dengan cepat jika tidak dirawat.
  • Ubat anti-VEGF yang disuntik ke dalam mata ialah rawatan barisan pertama yang disyorkan bagi wet AMD.
  • Brolucizumab, rawatan baharu bagi wet AMD, berkesan menangani ciri-ciri penyakit wet AMD, di samping kurang suntikan diperlukan dalam tempoh setahun.

Kuala Lumpur, 1 September 2021 – Pada hari ini, Novartis Malaysia menerajui inovasi perubatan dengan pelancaran brolucizumab, terapi anti-VEGF oleh Novartis yang terbukti melambatkan perkembangan kemerosotan makula disebabkan penuaan jenis basah, atau secara singkatnya wet AMD.

Wet AMD ialah salah satu punca utama golongan yang melebihi usia 65 tahun hilang penglihatan dengan parah atau buta di Amerika Utara, Eropah, Australia dan Asia. Penyakit ini dianggarkan menimpa 20 juta manusia sedunia. Kira-kira 46,000 rakyat Malaysia yang melebihi usia 45 tahun hari ini diketahui menghidap penyakit mata ini dan berisiko menjadi buta secara kekal.

Wet AMD ialah penyakit kronik yang menyebabkan salur darah yang abnormal tumbuh di bawah makula. Makula ialah bahagian tengah retina di dalam mata yang memberikan penglihatan pusat yang tajam dan jelas serta kebolehan mengenali warna.

Seperti yang diterangkan oleh Dr Nor Fariza Ngah selaku Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan Malaysia, “Salur darah ini rapuh dan boleh bocor lalu menyebabkan penakungan cecair dan juga darah di dalam makula. Inilah yang menimbulkan istilah wet AMD.”

“Kebocoran ini mengganggu binaan makula yang normal, yang akhirnya merosakkan makula dan meninggalkan parut padanya, menyebabkan pesakit mengalami kemerosotan penglihatan,” kata Dr Nor Fariza.

Antara simptom awal wet AMD ialah pandangan yang herot-berot (metamorfopsia) dan kesukaran melihat objek dengan jelas. Diagnosis dan rawatan segera amat penting. Apabila penyakit ini semakin melarat, kerosakan sel bertambah teruk lalu mengurangkan lagi mutu penglihatan. Hal ini boleh mengakibatkan penglihatan pusat hilang sepenuhnya. Pesakit tidak dapat membaca, memandu mahupun mengecam muka dan akhirnya, mereka tidak lagi boleh hidup berdikari.

Suntikan Anti-VEGF – rawatan Wet AMD yang mampu mengubah keadaan.

Beberapa dekad dahulu, harapan pesakit Wet AMD untuk memelihara penglihatan mereka sangat tipis. Dengan kemerosotan penglihatan dalam jangka masa tertentu, kebutaan sudah pun menjadi kepastian. Sebelum dekad 1980-an, tiada rawatan yang sedia ada bagi penyakit ini. Laser haba mulai diperkenalkan pada awal tahun 1980-an dan pada awal tahun 2000-an pula, terapi fotodinamik boleh dijalani sebagai pilihan. Walau bagaimanapun, pada tahun 2005, barulah penyekat faktor pertumbuhan endotelium vaskular, atau anti-VEGF, dihasilkan. Rawatan ini memberikan harapan menambahbaiki penglihatan pesakit.

“Anti-VEGF ialah ubat yang diberikan secara suntikan untuk menyekat VEGF yang berlebihan di dalam mata yang menggalakkan pertumbuhan salur darah secara abnormal di bawah makula. Rawatan ini dapat ‘mengeringkan’ cecair di dalam retina dan melambatkan perkembangan Wet AMD,” kata Dr Nor Fariza. Rawatan biasanya bermula dengan suntikan bulanan dan keputusan untuk memanjangkan selang masa sehingga suntikan yang seterusnya didasarkan pada respon penyakit terhadap rawatan tersebut. Untuk melakukan prosedur suntikan ini, pesakit berbaring dan selepas matanya dikebaskan, dibersihkan dan ditutup dengan kain, suntikan anti-VEGF diberikan ke dalam vitreus.

“Suntikan ke dalam mata ini telah membantu pesakit mengekalkan penglihatan, malah bagi kebanyakan kes, berjaya memulihkan penglihatan. Walau bagaimanapun, pesakit Wet AMD memerlukan dos terapi anti-VEGF yang kerap supaya perkembangan penyakit dapat dikawal. Kepatuhan terhadap jadual suntikan penting untuk memastikan pesakit mendapat manfaat terapeutik yang dihasratkan dan memperolehi hasil rawatan yang optimum. Suntikan yang kerap begini menimbulkan cabaran bagi pesakit dan ramai antara mereka menghadapi kesulitan apabila terpaksa menghadiri setiap janji temu,” beliau menambah.

Terapi anti-VEGF brolucizumab yang baharu

Pada tahun 2020, brolucizumab, agen terapeutik anti-VEGF baharu oleh Novartis, mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara di Malaysia8, dan juga kelulusan pertama di rantau ini. Brolucizumab mendapat kelulusan berdasarkan penemuan daripada percubaan klinikal Fasa III HAWK dan HARRIER. Dalam kajian ini, brolucizumab terbukti tidak kekurangan berbanding dengan aflibercept dari segi purata perubahan ketajaman penglihatan yang dibetulkan sebaik-baiknya (BCVA) pada penghujung tahun pertama (minggu ke-48).

Bukti keberkesanan brolucizumab terlihat dalam hasil percubaan klinikal ini, berdasarkan kajian global yang membandingkan keselamatan dan kemujaraban brolucizumab dengan suatu terapi anti-VEGF lain yang sedia ada dalam pasaran. Molekul brolucizumab dibentuk untuk menghantar kepekatan ubat yang tertinggi, dengan itu menghasilkan lebih banyak agen pengikat aktif berbanding dengan terapi anti-VEGF yang lain2. Melalui penyekatan VEGF, brolucizumab menindas pertumbuhan salur darah abnormal dan menghalang kebocoran cecair ke dalam retina. Selain itu, brolucizumab juga menjadi terapi pertama anti-VEGF yang diluluskan oleh FDA yang mampu memelihara keadaan pesakit Wet AMD yang menepati syarat dengan aturan pemberian dos setiap tiga bulan sejurus selepas fasa pemuatan tanpa menjejaskan kemujarabannya.

Dalam kedua-dua percubaan klinikal ini, kira-kira 30% pesakit yang menerima brolucizumab dapat melihat sekurang-kurangnya 15 huruf lagi pada penghujung tahun pertama. Kemajuan ini dicapai dengan lebih daripada separuh pesakit yang dipelihara dengan aturan pemberian dos setiap tiga bulan (56% bagi HAWK dan 51% bagi HARRIER), manakala pesakit yang selebihnya dalam kajian ini dirawat mengikut jadual pemberian dos setiap dua bulan. Brolucizumab berjaya mengurangkan ketebalan submedan pusat (CST) dengan lebih banyak seawal minggu ke-16 dan selepas satu tahun, dan bilangan pesakit yang lebih kecil mengalami bendalir di dalam retina (IRF) dan/atau bendalir di bawah retina (SRF). Bendalir retina ialah penanda penting bagi aktiviti penyakit. Bagi pesakit yang menggunakan brolucizumab, mereka mengalami pengurangan bendalir di dalam retina dengan lebih banyak.

“Brolucizumab menepati matlamat amalan klinikal kami untuk merawat Wet AMD, iaitu menambahbaik penglihatan dan mengeringkan bendalir retina,” kata Encik Patrik Grande, Presiden & Pengarah Urusan Novartis Malaysia.

Menurut Encik Grande, dengan adanya brolucizumab, potensi memanjangkan selang waktu antara dos kepada tiga bulan akan membolehkan pengurangan kekerapan suntikan. Ini dapat meringankan beban pesakit dan penjaga, dengan itu menambahbaik pematuhan dan hasil rawatan secara keseluruhannya.

“Dengan adanya jadual rawatan yang lebih mudah diikuti, pesakit tidak perlu keluar dengan begitu kerap semasa tempoh pandemik ini dan dapat meluangkan lebih masa untuk bertumpu pada perkara-perkara yang penting dalam hidup mereka.”

“Hal ini selari dengan komitmen Novartis, iaitu menggambarkan semula ubat dan rawatan untuk pesakit yang menderita akibat kecacatan penglihatan yang serius dan yang terpaksa hidup menanggung penyakit ini setiap hari. Dalam bidang oftalmologi, kami bermatlamat menghasilkan dan menyampaikan ubat dan terapi yang mampu mengubah kehidupan untuk merawat penyakit dan masalah kesihatan daripada belakang sehingga ke depan mata, yang dibolehkan dengan data dan teknologi yang berasaskan transformasi.” Encik Grande menambah.

Mainkan peranan anda untuk melihat hasilnya

Ramai orang mengetepikan sahaja simptom masalah mata di kalangan orang tua kerana menganggapnya sebagai kehilangan penglihatan yang “normal” disebabkan usia yang lanjut atau penyakit mata lain yang mungkin tidak perlu diberi perhatian segera. Penting ditegaskan bahawa keupayaan penglihatan yang berkurangan adalah tidak normal dan hendaklah diperiksa oleh pakar mata.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr Nor Fariza, “Jika anda atau seseorang yang dikasihi mengalami simptom yang mungkin menandakan AMD, jangan berlengah-lengah lagi dan pergilah berjumpa dengan pakar oftalmologi dengan segera.”

“Masa itu penting. Jangan biarkan penglihatan anda atau orang yang dikasihi merosot daripada kabur kepada buta!”

Siti Fatimah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.