GEORGE TOWN, 4 Sept (Bernama) — Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, terpaksa bertindak memecahkan pintu sebuah rumah di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam di sini bagi mengeluarkan mayat warga emas yang ditemukan meninggal dunia di rumah itu, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Yusri Zakaria berkata, mayat wanita tempatan berusia lingkungan 60-an itu ditemukan, selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.12 tengah hari sebelum tiba tujuh minit kemudian.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan pintu rumah didiami wanita itu sendirian terkunci, dan dikhuatiri mangsa pengsan di dalam rumah kerana menurut jirannya, dia tidak menyahut panggilan mereka.
“Pihak bomba kemudiannya memecahkan pintu rumah tersebut menggunakan peralatan khas menyelamat, sebelum mendapati seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut hadir di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat warga emas itu dibawa keluar oleh anggota bomba dan petugas KKM yang berpakaian lengkap peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk dibedah siasat.
— BERNAMA