Gara-gara mahu menjadi ‘superhero’ Marvel, seorang remaja 15 tahun tekad menyuntik cecair merkuri pada anggota badannya sendiri.
Lebih mengejutkan, remaja berkenaan turut menggunakan labah-labah untuk menggigit tangannya supaya boleh bertukar menjadi Spiderman.
Merujuk laporan National Centre for Biotechnology Information, pada asalnya remaja itu didakwa terpengaruh dengan watak Mercury dalam komik X-Men dan X-Men Wolverine.
Minat yang tinggi terhadap watak itu membuatkan remaja berkenaan tekad mencucuk cecair merkuri yang diambil daripada thermometer sebanyak tiga kali.
“Kami melaporkan kes seorang remaja 15 tahun yang terpengaruh dengan filem, sengaja menyuntik bahagian bawah lengannya dengan merkuri yang mengakibatkan pembentukan ulser.
“Ujian histopatologi mengesahkan diagnosis tersebut. Menariknya, rekod sebelum ini menunjukkan dia pernah digigit labah-labah beberapa kali kononnya untuk berubah menjadi Spiderman,” maklum laporan itu.
Difahamkan, pihak perubatan terpaksa menjalankan prosedur pembedahan bagi merawat ulser tersebut serta mengurangkan kadar merkuri dalam darah dan air kencingnya.
Bagaimanapun remaja itu tidak mengalami tanda-tanda klinik keracunan kronik dan ia menunjukkan bahawa suntikan merkuri tersebut mempunyai keracunan sistemik yang rendah.
“Anehnya, dia tidak mempunyai sebarang masalah psikiatri dan mempunyai tahap IQ yang normal,” tambah laporan itu lagi.
Merujuk laporan itu, penggunaan merkuri biasanya digunakan dalam usaha bunuh diri oleh sesetengah pesakit mental yang mengalami kemurungan teruk.
Selain itu, bahan tersebut juga didakwa turut digunakan oleh atlet sukan secara dalam prosedur yang betul bagi meningkatkan prestasi mereka.
Sumber: Mirror