Siakap Keli
Gambar: Langkawi Ferry Line Ventures SDN BHD, Astro Awani & Bernama

Perkhidmatan Feri Kuala Kedah Ke Langkawi Ditutup Dua Minggu Bermula Esok

Berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah bermula esok, perkhidmatan feri Kuala Kedah-Langkawi akan ditutup sementara.

Memetik laporan Awani, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, penutupan terminal feri Kuala Kedah berkuatkuasa esok hingga 19 September ini.

“Penumpang yang berurusan keluar masuk Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis, yang dibuka dengan satu trip perjalanan,” kata Baharin dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Baharin memetik laporan Awani, jadual perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis ditetapkan pada jam 11 pagi, manakala trip Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 1 petang.

Pun begitu, kekerapan perjalanan feri akan ditambah jika mendapat permintaan, tambah Baharin.

Katanya, kapasiti penumpang yang dibenarkan setakat ini hanya 50 peratus dalam satu masa.

“Penumpang yang sudah membeli tiket bagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi boleh membuat tuntutan bayaran semula melalui emel, seperti yang tercatat pada pas masuk bagi pembelian atas talian,” ujar Baharin.

Tambahnya, penumpang berkenaan juga boleh menukar perjalanan keluar masuk melalui Terminal Kuala Perlis atau membuat tuntutan bayaran balik di kaunter pembelian.

Lokaliti baharu di Kedah membabitkan dua zon dalam mukim Kuala Kedah dan Kota Setar, berkuatkuasa esok hingga 19 September.

Sumber: Astro Awani

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.