Seorang lelaki di Kosovo terpaksa menjalani rawatan selepas menelan sebuah telefon bimbit jenis Nokia 3310, lapor Mirror UK.
Menurut portal itu, lelaki tersebut telah menuju ke hospital apabila mengalami rasa sakit selepas menelan peranti berkenaan.
Lantaran itu, pasukan perubatan telah mengeluarkan peranti itu melalui prosedur endoskopi tanpa membedah lelaki berusia 33 tahun berkenaan.
Mereka turut berkongsi gambaran X-ray peranti tersebut ketika di dalam badan dan selepas ia dikeluarkan.
Memetik Mirror UK, tindakan lelaki tersebut menelan telefon berkenaan boleh membahayakan nyawa kerana ia terlalu besar untuk dihadam di samping boleh menyebabkan kebocoran asid bateri yang menghakis dalaman badan pesakit.
Peranti itu merupakan salah satu objek pelik yang pernah ditelan selain bateri dan butang kecil, tulis portal tersebut.
Pada 2014, seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai mabuk dilaporkan cuba menelan telefon miliknya sebelum ia tersangkut pada tekak dan perlu dikeluarkan melalui pembedahan.



Sumber: Mirror.uk