Seorang remaja berusia 15 tahun di Bournemouth mengalami detik ngeri dalam hidupnya apabila ditarik seorang lelaki tidak dikenali sebelum diperkosa di hadapan ribuan pengunjung pantai Julai lalu, lapor Daily Mail.
Menurut portal itu, mangsa telah ditarik suspek ke kawasan air yang lebih dalam selepas bola yang dimainnya bersama rakan-rakan mendarat berhampiran lelaki itu.
Biarpun ramai pengunjung di pantai pada waktu tersebut, mangsa mendakwa dia tidak dapat mempertahankan diri apabila suspek memperkosanya secara berselindung di dalam air.
“Kami habiskan masa berjemur di pantai. Sekitar 4 petang, saya dan rakan masuk ke dalam air dan bermain bola.
“Satu balingan, ia mendarat berhampiran seorang lelaki. Saya tanya, “Boleh berikan bola itu semula?” Dia jawab tidak.
Tambah remaja itu, dia kemudiannya mendekati lelaki itu bagi mendapatkan bola tersebut sebelum membalingnya kepada rakan.
“Dia mula bercakap dengan saya dan menyentuh lengan saya. Pada masa sama, seorang lelaki buatkan rakan saya tidak selesa, jadi dia (rakan) keluar dari air.
“Saya bersendirian dan dia (suspek) menolak saya ke bahagian lebih dalam hingga kaki tidak menjejak tanah. Ketika itu dia mula menyentuh saya. Tiada siapa dapat melihat apa yang berlaku dan semasa itulah dia memperkosa saya,” ujarnya seperti ditulis Daily Mail.
Remaja itu dipercayai hanya dapat melepaskan diri apabila salah seorang rakan suspek mendekati mereka.
Sebaik melepaskan diri, dia kemudiannya menghampiri rakan-rakannya di tepi pantai, namun diekori lelaki berkenaan yang cuba mendekatinya.
“Saya menangis. Saya beritahu rakan apa yang berlaku dan ketika itu saya berasa sangat sakit. Jadi saya ke tandas. Kemudian lelaki itu datang kepada saya dan bertanya bagaimana dia boleh menghubungi saya.
“Rakan-rakan saya yang menghalaunya dan itu kali terakhir saya melihatnya,” tambah mangsa.
Lapor portal itu, remaja itu mengaku tidak dapat berhadapan orang ramai dan sering berasa takut susulan peristiwa tersebut.
Pihak polis menyeru saksi kejadian agar tampil memberikan maklumat bagi mengesan suspek yang dipercayai merupakan seorang lelaki Asia berketinggian 5 kaki 7 inci.
Sumber: Daily Mail