Siakap Keli

Exabytes & EasyWork Melancarkan AdaKerja.My, Portal Kerja Percuma Bantu Pencari Kerja & Majikan

Exabytes, pembekal teknologi eDagang dan digital serta teknologi perniagaan berasaskan awan terkemuka di Asia Tenggara, dengan kerjasama Easywork, melancarkan portal pekerjaan percuma AdaKerja.My untuk memenuhi keperluan pencari kerja dan memudahkan majikan untuk mengambil pekerja.

Sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan sistem pengurusan sumber manusia (HRM) mudah alih dan berpengalaman membekalkan teknologi dalam sektor digitalisasi, Exabytes membangunkan platform ini bagi membantu seramai orang yang mungkin dengan cara yang paling ringkas. Ia tidak memerlukan pendaftaran seperti kebanyakan laman web mencari pekerjaan yang lain. Cukup dengan sekadar mengisi butiran asas diri, pencari kerja boleh memohon pekerjaan dengan selamat, dan platform ini akan memadankan mereka dengan pekerjaan yang berhampiran berdasarkan lokasi geo. Hasrat ini selaras dengan matlamat AdaKerja.My untuk mengurangkan tekanan dan kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam tempoh krisis ekonomi semasa.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Malaysia dilaporkan meningkat kepada 4.8% pada Jun 2021 melibatkan 768,700 orang. Lima negeri yang mencatatkan kadar pengangguran tertinggi pada suku kedua 2021 ialah Labuan pada 8.8%, diikuti oleh Sabah (8.7%), Perlis (5.3%), Kelantan (4.8%) dan Selangor (4.4%).

Ramai yang mungkin beranggapan bahawa pasaran pekerjaan kini tepu dengan mereka yang boleh diambil bekerja pada bila-bila masa berdasarkan peningkatan jumlah orang yang kehilangan pekerjaan akibat kawalan pergerakan dan kenaikan mendadak jumlah pencari kerja. Hakikatnya, kebanyakan majikan Malaysia masih berdepan cabaran untuk menggajikan pekerja yang sepadan dengan keperluan syarikat.

Dalam suasana ekonomi yang terbaik sekali pun, proses mencari kerja akan memakan masa. Kini, ia menjadi lebih mencabar terutama sekali dalam tempoh wabak COVID-19. Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Exabytes Network Sdn Bhd, Chan Kee Siak berkata, “Kami ingin orang ramai tahu bahawa walaupun sekarang boleh dianggap sebagai salah satu daripada keadaan terburuk yang pernah kita alami, ia tidak bermakna kita perlu berputus asa. Masih banyak kerja kosong untuk diisi jika seseorang itu bersedia mencari kerja dengan minda yang positif.”

“AdaKerja.My boleh membantu mereka yang menganggur untuk mengakses lebih banyak pilihan pekerjaan berbanding platform biasa atau kaedah konvensional lain seperti iklan-iklan kecil dalam surat khabar. Banyak perniagaan masih memerlukan pekerja yang berkelayakan. Justeru, kami percaya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat wabak kini boleh bermula semula dengan AdaKerja.My. Kami percaya kepada pepatah yang menyebut; apabila anda beri seseorang ikan, anda memberinya makan untuk satu hari tetapi apabila anda ajar seseorang itu memancing, maka anda akan memberinya makan seumur hidup,” katanya.

Chan, yang juga pengasas bersama EasyWork berkata, “Kami teruja melihat keupayaan platform ini membantu mereka yang memerlukan pekerjaan sejak pra-pelancarannya. Kini, kami telah bersedia untuk membuka platform ini kepada orang ramai. Kami percaya bahawa platform ini akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang diperlukan dan pada masa sama dapat membantu majikan melaksanakan proses pengambilan pekerja yang lebih cekap tanpa sebarang kerumitan.”

AdaKerja.My ialah satu kesinambungan daripada inisiatif Exabytes sebelum ini yang bekerjasama dengan syarikat-syarikat seinduknya iaitu Easyparcel, Pgeon Delivery, EasyStore dan EasyWork untuk melancarkan bank makanan digital FoodBank.Digital pada Julai 2021.

“Pada saat genting apabila sesetengah keluarga mula lapar sehingga ada yang membunuh diri, pasukan kami melancarkan kempen bank makanan digital, FoodBank.Digital. Matlamat utama FoodBank.Digital adalah untuk membantu keluarga-keluarga ini melalui tempoh sukar dengan membekalkan barang keperluan asas. Kami menerima lebih daripada 53,000 permohonan dalam dua minggu dan kami berjaya mengedarkan bantuan kepada semua pemohon,” kata Chan.

Walaupun Exabytes masih terus mengumpul dana untuk inisiatif FoodBank.Digital, ia terus mengorak langkah bersama EasyWork menerusi inisiatif AdaKerja.My. Portal pekerjaan ini mempunyai matlamat yang jelas dalam membantu mereka yang memerlukan dengan memberi peluang untuk memanfaatkan portal percuma ini bagi mencari pekerjaan yang sesuai dengan mereka.

Jika memerlukan maklumat lanjut, sila layari www.adakerja.my

Nur Farra

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.