Bagi mereka yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan atau lebih mudah disebut ‘rider’, pasti banyak cabaran yang dihadapi sepanjang berada di jalanan. Panas terik dan hujan lebat itu sudah dianggap ‘permainan’ saja.
Namun tidak ramai yang tahu, antara masalah yang sering dihadapi mereka juga adalah kesilapan teknikal dalam aplikasi iaitu lokasi. Ada sesetengah pelanggan, mereka tidak memberi maklumat lokasi yang tepat.
Akibatnya, rider berkemungkinan besar akan tersesat. Ini pasti akan menambah beban daripada segi masa. Kita pun faham kan, mereka sangat berkejar dengan masa demi mahu membuat jumlah penghantaran secara optimum.
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang rider Grabfood yang mengadu pelanggannya tersalah beri lokasi. Justeru, rider bernama Danish ini merakam sedikit pesanan buat semua pengguna aplikasi p-hailing tersebut.
Bagaimanapun di sebalik ‘celotehnya’ dalam menasihat, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah dialek Perak yang lancar ditutur di bibirnya. Pendek kata, Danish bercakap menggunakan loghat Perak yang sangat ‘pekat’ bunyinya.
Jom ikuti nasihat Danish menerusi video yang dimuat naik di Twitter Moh Kita di bawah ini. Semoga terhibur!
Sedikit pesanan kepada kome orang Ipoh yang selalu order Grabfood. Kome jangan buat rider macam ni, kesian deme 😭
Sumber : https://t.co/7iLXNidr8N pic.twitter.com/1Z5PpVcQ2Z
— Moh Kita (@MohKeIpoh) September 6, 2021
Video ini dimuat naik ke group komuniti Facebook GrabFood Rider Malaysia Official baru-baru ini dan telah ditonton hampir 120,000 kali setakat artikel ini ditulis. Rata-rata netizen sangat terhibur dengan pesanannya.
Berbalik kepada konteks, antara perkara yang dinasihatkan oleh Danish adalah pelanggan perlulah memberi navigasi lokasi yang tepat. Ini sangat penting bagi memudahkan rider sepertinya untuk menghantar makanan yang dibeli.
Definisi lokasi lengkap yang dimaksudkannya adalah pelanggan perlu jelaskan info penting seperti nombor rumah, nama jalan, nama simpang dan sebagainya. Kalau tidak, terpaksalah mereka ‘tersidai’ (bahasa rider) di tepi jalan.
Selain itu, Danish turut berpesan, pelanggan juga perlu cakna dengan panggilan telefon. Setiap kali buat pesanan, sebaiknya telefon perlulah bersedia di tangan. Tidaklah rider terpaksa hubungi berkali-kali.
Demikianlah nasihat yang disampaikan oleh Danish. Mungkin kita terhibur mendengar loghat Peraknya yang pekat, namun pesanannya jangan dilupakan juga. Semoga video ini bermanfaat buat semua!
Sumber: Danish melalui Twitter @MohKeIpoh / FB GrabFood Rider Malaysia Official