Siakap Keli

JAIS Cadang Wajibkan Pasangan Hadir Kursus Pasca Perkahwinan, Elak Berlaku Penceraian

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mencadangkan untuk mewajibkan kursus pasca perkahwinan kepada pasangan suami isteri beragama Islam di negeri ini dalam usaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Menurut Ketua Penolong Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS, Nik Suhaila Nik Hussin, cadangan berkaitan ini sedang diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi selain selaras seruan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar setiap jabatan agama negeri untuk memperkasakan pasca perkahwinan.

Tambahnya lagi, pihaknya memang mempunyai kursus tersebut namun bilangan peserta berkurangan disebabkan kekangan dari segi kos.

Tujuan kursus ini adalah salah satu cara untuk menyelamatkan rumah tangga dan pihaknya sentiasa konsisten melakukannya setiap tahun dengan modul Jakim namun setakat ini belum diwajibkan.

Jelasnya, kursus ini mempunyai empat modul iaitu fasa bula bagi pasangan yang telah berkahwin antara setahun hingga lima tahun, fasa semarak kasih (6 hingga 10 tahun), sehati sejiwa (11 hingga 20 tahun) dan syurga cinta (21 tahun ke atas).

Katanya pada pihak media, kursus pasca perkahwinan ini untuk mengukuhkan dari segi kewangan, mental dan menguruskan konflik kerana pasangan yang berkahwin melalui alam rumahtangga ini.

“Penyertaan paling cepat atau banyak adalah bagi fasa syurga cinta disebabkan tiada komitmen yang membebankan seperti menjaga anak berbanding fasa-fasa lain,” ujarnya.

Berdasarkan rekod mencatatkan penceraian yang berlaku pada 2019 adalah sebanyak 9,438 pasangan, 2020 (7,683) dan sehingga Julai tahun ini (2,621) dengan peringkat umur pasangan paling tinggi adalah lingkungan 31 hingga 35 tahun, tegasnya.

“Usia perkahwinan paling dominan penceraian adalah berusia setahun hingga lima tahun.”

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JAIS mencatatkan peningkatan aduan penceraian dengan 2018 merekodkan 11,308 aduan diikuti 2019 (15,887) dan 2020 (17,801) bagi keseluruhan 10 kategori aduan.

Tegasnya lagi, paling dominan berkaitan akhlak seperti ketagihan media sosial, pengotor dan kuat merokok selain aduan tentang tidak bertanggungjawab dan masalah komunikasi.

 

Sumber: Kosmo

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.