Siakap Keli
Gambar: Ahmad Azizi/SMAHI

“Macam Kitab Kuning Lama..” Abang Ni Teruja Jumpa Buku Resipi Mak Mertua Tahun 1958, Ditulis Dalam Jawi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Orang kata, tiada yang lama, tiada juga yang baharu. Percaya atau tidak, pada era selepas Merdeka dahulu, buku resipi masakan telah pun ditulis dalam bentuk majalah dan dijual di kedai-kedai.

Begitulah seperti yang ditemui oleh seorang warga Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI), Ahmad Azizi baru-baru ini apabila beliau menjumpai sebuah buku resipi bersejarah milik kepunyaan ibu mertuanya yang dicetak pada 1958 dahulu.

Apa yang menariknya, buku resipi ini ditulis dalam tulisan Jawi sepenuhnya. Maka kalau sekali pandang, saling tak tumpah macam sebuah kitab lama. Sangat mengujakan!

Jom ikuti perkongsian Ahmad Azizi dalam SMAHI seperti yang dikongsikan di bawah ini.

Jumpa buku resipi mak mertua tahun 1958, unik guna tulisan jawi

Dalam perkongsian tersebut, Azizi menulis:-

“Salam. Baru nak ambil semangat belajar memasak. Belek-belek buku resepi mak mertua kat dapur. Sekali jumpa resepi kitab kuning tulis Jawi daaa. Ada kesempatan lain kali boleh try resepi-resepi silam turun-temurun sejak tahun 1958 ni haha..”

Berikut di bawah adalah beberapa gambar memaparkan halaman dalam buku resipi tersebut. Difahamkan, buku resepi ini berjudul ‘Medan Selera‘ yang dipercayai dicetak dan dijual pada 1958.

Di bawah ini adalah muka depan Medan Selera. Ringkas, agak kosong tanpa pelbagai grafik dan hanya bermodalkan seorang model wanita. Tapi apa yang menariknya, buku resipi ini ditulis menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya.

Gambar: Ahmad Azizi

Menurut gambar di bawah, resipi-resipi yang terkandung dalam buku ini adalah daripada menu-menu pilihan masakan Melayu, Cina, India, Arab, Jepun dan Eropah. Senaskah Medan Selera ini berharga RM2.00, ia mungkin harga yang agak tinggi untuk tahun 1958.

Selain itu, kandungan dalam buku resipi ini ditulis dan disusun oleh penulis asalnya, Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub Al-Johori di mana kesemuanya pernah dicuba, diubah dan dijamin keenakannya oleh almarhum sendiri.

Menurut perkongsian di ruangan komentar oleh Iqbal Ebdil Rahmen, arwah pernah selalu berpesan kepada sesiapa yang mahu mencuba resipi tersebut dengan pesanan yang berbunyi, “Kalau ikut segala peraturan, InsyaAllah sedap masakan itu,”.

Tambah Iqbal, setelah arwah meninggal dunia, ‘legasinya’ dalam dunia masakan diteruskan oleh isterinya, Allahyarhamah Hajjah Jamaliah dengan terus memasaknya sebagai hidangan harian keluarga hingga ke akhir hayat.

Difahamkan, Allahyarhamah Hajjah Jamaliah turut memulakan perniagaan rempah-ratus yang dibuatnya sendiri sejak 1960an hinggalah produknya dijenamakan sebagai Al-Johori yang diwarisi hingga ke hari ini.

Gambar: Ahmad Azizi

Selain itu, keunikan dalam Medan Selera ini adalah permulaannya yang dimulakan dengan kata-kata pengarang yang ditulis dalam tulisan Jawi. Bak kata Ahmad Azizi, ‘sekali pandang dah macam kitab kuning’.

Memetik pendahuluan pengarangnya, arwah menulis kata-kata pendahuluannya seperti di bawah:-

“Bahawa adalah pelajaran masak-memasak lauk-lauk dengan peraturan yang baik dan dengan cara yang betul itu bukan sahaja berguna kepada perempuan yang telah dan yang akan menjadi suri rumah tangga kerana menyediakan makanan yang baik dan membuka selera bagi makan hari-hari atau kerana hendak menyediakan jamuan kahwin atau sebagainya,

Akan tetapi sangat-sangat mustahak kepada laki-laki kerana ia suatu ilmu yang akan membuka suatu jalan yang luas kerana mencari nafkah hidup sama ada dengan keadaan kecik seperti membuat kedai makanan bergeral atau tetap dengan modal yang kecik atau pun kerana hendak membuka kedai besar di bandar-bandar dan kota-kota dan menerima segala borongan….”.

Macam baca kitab kuning, kan?

Gambar: Ahmad Azizi

“Yang menyentuh hati dalam buku ni adalah kejujuran penulis. Dalam muka surat ni ada beritahu banyak restoran-restoran kedai-kedai makan masa tu bukan dipelopori orang Melayu.

“Dunia masak-memasak ni Melayu tak ambil port masa tu. Jadi penulis tulis semua resipi ini supaya Melayu bangkit dan kuasakan sektor pemakanan di negara kita,” kata Ahmad Azizi ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

Gambar: Ahmad Azizi
Gambar: Ahmad Azizi

Berikut di bawah adalah halaman isi kandungan. Terdapat kira-kira 63 jenis menu masakan yang terkandung, semuanya dipercayai pernah dimasak oleh arwah sendiri.

Antara menu yang tertera di sini ialah sambal ketupat, kari kambing atau lembu, bubur lemak berlauk, kebab lembu atau kambing, pajeri terung, ayam masak rendang santan, kuah laksa putih dan banyak lagi.

Jom lihat lagi gambar-gambar seterusnya. Anda akan lihat perincian sesuatu resipi yang diyakini sangat melazatkan. Macam tak percaya, rupa-rupanya kebanyakan resipi moden hari ini telah dibuat terlebih dahulu oleh ‘orang lama’.

Gambar: Ahmad Azizi

Ini ialah resipi ‘odong’ atau mi, iaitu sejenis kuah Jepun. Menariknya, sukatan bagi sesetengah bahan tidak menggunakan istilah ‘kilogram’, sebaliknya perkataan lama iaitu ‘kati’.

Gambar: Ahmad Azizi

Ini pula adalah menu yang ke-46 iaitu mi Siam. Difahamkan, ia adalah salah satu masakan masyarakat Jawi Peranakan satu ketika dahulu.

Gambar: Ahmad Azizi

Ini pula ialah resipi kuah soto ayam, juga merupakan makanan masyarakat Jawi Peranakan.

Gambar: Ahmad Azizi

Menerjah ke ruangan komentar, rupa-rupanya ramai warga SMAHI yang ‘otai-otai’ pun tahu tentang kewujudan buku resipi Medan Selera ini. Malah ada juga yang mengenali sosok tubuh arwah.

Difahamkan, Medan Selera edisi Rumi juga pernah dicetak oleh cucu arwah seperti di bawah, dijudulkan semula dengan nama baharu Nostalgia Medan Selera.

Semoga Allahyarham Haji Ahmad Yaakub Al-Johori ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman atas jasanya dalam dunia masakan di tanah air ini. Al-Fatihah.

Gambar: Ar Izuan/SMAHI

Sumber: Ahmad Azizi melalui Suami Masak Apa Hari Ini

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'