PASIR PUTEH, 9 Sep (Bernama) — Cubaan 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kedua-dua bot itu ditahan berasingan ketika menangkap ikan pada kedudukan 93 dan 95 batu nautika dari muara Tok Bali, pada pukul 9.31 pagi dan 10.21 pagi.
Beliau berkata kedua-dua bot dengan 19 kru termasuk dua tekong berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot dicat nombor pendaftaran Malaysia menggantikan nombor pendaftaran Vietnam. Kedua-dua bot itu disyaki menyamar dengan memalsukan nombor pendaftaran tempatan yang tidak wujud dalam sistem pangkalan data Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.


Syed Nor Adli berkata siasatan juga mendapati nelayan warga asing itu disyaki memalsukan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia
“APMM akan membuat siasatan lanjut sama ada terdapat sindiket yang memalsukan dokumen berkenaan,” katanya.
Tambah beliau dua bot itu dipercayai baru memasuki perairan negara berdasarkan hasil tangkapan salah satu bot dengan 50 kilogram sotong manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan dan bahan bekalan api diesel masih berbaki sebanyak 9,500 liter.
Katanya, pihaknya terpaksa menunda kedua-dua bot itu selama lebih 26 jam untuk sampai ke Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, berikutan salah satu daripada bot berkenaan mengalami kerosakan enjin.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
“Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.
Sumber: BERNAMA / FB APMM