Kalau masak nasi putih, biasanya kita akan memasaknya dengan kaedah cukup ringkas iaitu basuh, tekan butang ‘On’ dan hidang, kan? Tapi perasan tak, kalau makan di kedai, nasi putih mereka sangat ‘cantik’, strukturnya berderai dan tidak melekat.
Nak cedok pun ‘sedap’ je, apatah lagi bila dikunyah dalam mulut. Tak cukup dengan itu, nasinya pun berbau wangi, selain ada ‘rasanya’ tersendiri. Terfikir juga, macam manalah chef di restoran ni masak nasi putih? Kenapa tak sama rasa macam kita masak di rumah?
Sebenarnya ada satu ‘rahsia’ besar yang ramai tak tahu. Baru-baru ini, tukang masak berpengalaman, Chef Ahmad Shukri Amiruddin ada berkongsi resipi rahsia masak nasi putih dengan ilmu pengasih dalam Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official.
Mungkin ramai yang belum tahu rahsia besar tukang-tukang masak ini. Jom ikuti perkongsian Chef Shukri seperti di bawah ini.
Tips masak nasi putih dengan ‘ilmu pengasih’

Malam ni orang rumah sibuk. Saya dengan rela paksa masak nasi putih. Masak nasi putih ni pun ada rahsia besar. Bukan masak begitu saja.
Selama 25 tahun saya belajar, bekerja, bergelumang dan mencari rezeki melalui perniagaan makanan, malam ini saya akan bagi ilmu yang paling penting sekali dalam bidang masakan.
Saya nak kongsikan ilmu pengasih yang digunakan oleh kebanyakan kedai-kedai nasi campur dan juga nasi lauk kenduri kahwin. Kadang-kadang bila kita makan nasi kat kedai memang sedap. Lepas tu orang kata kedai tu pakai jin, pakai bomoh, pakai hantu dan macam-macam lagi.
Perkongsian ilmu pengasih untuk anda. Anda boleh gunakan ilmu ini supaya suami anda lebih sayang sebab masak lagi sedap. Setiap kali masak nasi putih, bacalah Bismillah dan selawat masa basuh beras. Ikutlah berapa kali nak dibaca.
Masa nak masak nasi. Masukkan sedikit garam dan minyak dalam nasi yang nak dimasak. Masukkan daun pandan. Kena pandai agak-agak supaya tak terlalu masin dan berminyak. Sukatan air nasi adalah seperti biasa. Apa tujuannya?
Minyak berfungsi supaya nasi tidak melekat dan sentiasa berderai. Garam pula untuk bagi nasi putih ada ‘rasa’ bila kita makan begitu saja atau dengan lauk berkuah. Daun pandan supaya nasi wangi satu dapur bila dah mendidih.
Kalau masak nasi selain nasi putih: nasi tomato, nasi minyak dan lain-lain, ikutlah cara ini beserta masukkan 3 atau 4 ketul gula batu bertujuan mengilatkan nasi supaya lebih cantik.
Inilah rahsia besar kedai-kedai makan dan para tukang masak. Saya redha kalau lepas ni ada yang PM saya kenapa ‘bodoh sangat’ bagitahu rahsia ni. Tujuan saya ilmu yang diamalkan, saya akan dapat pahala berterusan. Tak salah kan? – Chef Shukri
Sumber: Ahmad Shukri Amiruddin melalui Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official