Siakap Keli
Gambar: Daniel Scali

Lelaki Ini Pecah Rekod ‘Planking’ 9 Jam 30 Minit, Paling Lama Di Dunia

Bagi yang selalu melakukan senaman kardio, istilah planking mungkin sudah tak asing lagi.  Planking ni selalunya dibuat dalam masa beberapa minit, itu pun dah kira cukup lama.

Buat lima minit planking pun dah rasa keras otot terutamanya di bahagian abdomen. Sampai terketar-ketar lah nak habiskan setiap set senaman rintangan ni.

Tapi lelaki berasal dari Australia ni pecahkan rekod dunia dengan melakukan plank paling lama sampai berjam-jam. Daniel Scali mencatatkan masa planking 9 jam, 30 minit dan 1 saat dan dah disahkan oleh Rekod Dunia Guinness.

Ia merupakan percubaan kedua Scali setelah cubaan pertamanya 18 Jun lalu tidak diterima pihak Guinness atas faktor teknikal.

Lebih mengagumkan, Scali merupakan penghidap sindrom kesakitan kronik (CRPS) selepas patah tangan kiri ketika dia berumur 12 tahun. Scali menyahut cabaran ini untuk membuktikan bahawa sakit bukan penghalang kejayaan.

Menurut Scali dalam sebuah video yang diunggah Guinness, seawal minit ke-14 dia sudah merasakan betisnya seperti ‘terbakar’.

“Masuk enam ke tujuh jam, badan saya dah mula menggeletar dan akhirnya saya muntah,” kata Scali.

“Saya rasa sakit dari hujung rambut sampai hujung kaki. Semuanya kebas termasuk kaki, peha, dan tangan kiri saya,” tambahnya.

Selepas 9 jam, 30 minit dan 1 saat menahan sakit, Scali mampu tersenyum apabila berjaya memecahkan rekod dunia dengan pencapaian yang boleh dikatakan diluar batas orang normal.

Scali berjaya memecahkan rekod plank terlama di dunia kategori lelaki yang sebelum ini dipegang oleh George Hood. Hood mencatatkan rekod tersebut Februari tahun lalu, dengan catatan masa 8 jam, 15 minit dan 15 saat.

Sumber: Guinness World Records, Daniel Scali

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.