Siakap Keli

Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Julai 2021

PUTRAJAYA, 9 September 2021 – Bilangan penganggur meningkat sedikit kepada  778.2 ribu orang merekodkan kadar pengangguran bulan Julai kekal pada  4.8 peratus, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan hari ini dalam siaran  Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Julai 2021. Statistik ini memperihalkan kedudukan  penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh. 

Menurut Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, “Julai 2021  menyaksikan bilangan guna tenaga terus menurun namun pada kadar yang perlahan  manakala pengangguran merekodkan sedikit peningkatan. Pada awal bulan tersebut,  seluruh negara beralih ke Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengambil kira  faktor peningkatan berterusan jumlah kes baharu COVID-19 dan kadar vaksinasi yang  semakin tinggi. Kemudiannya, secara berperingkat sebanyak lapan negeri telah  beralih ke Fasa 2 PPN dengan pelonggaran sekatan yang membenarkan lebih banyak  aktiviti ekonomi beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard  (SOP). Hal ini telah membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan  seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut. Walau bagaimanapun, lapan buah negeri dengan liputan sekitar 52 peratus tenaga buruh di  Malaysia masih kekal berada dalam Fasa 1 PPN. Bagi Selangor dan Wilayah  Persekutuan Kuala Lumpur pula, sebahagian besar daerah dan lokaliti di  kedua-dua negeri ini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  Diperketatkan pada 3 hingga 16 Julai 2021 yang menyebabkan aktiviti ekonomi dan  perkhidmatan tidak penting telah dihentikan seketika. 

Justeru, penurunan bulan ke bulan yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.02 peratus dalam  bilangan penduduk bekerja dicatatkan pada Julai 2021 kepada 15.29 juta orang  (Jun 2021: -0,5%; 15.30 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk  kekal pada 65.0 peratus. Sebaliknya, bilangan penganggur meningkat sedikit  sebanyak 1.2 peratus kepada 778.2 ribu orang (Jun 2021: 5.6%; 768.7 ribu orang).  Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 4.8 peratus berbanding bulan  sebelumnya manakala perbandingan tahun ke tahun, menurun sebanyak 0.1 mata  peratus (Julai 2020: 4.7%). Justeru, bilangan tenaga buruh pada Julai 2021 meningkat  sedikit 0.04 peratus (Jun 2021: -0.2%) merekodkan 16.07 juta orang setelah mencatatkan penurunan pada bulan-bulan sebelumnya. Kadar penyertaan tenaga  buruh (KPTB) pada bulan ini kekal pada 68.3 peratus. 

Mengikut sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan  kecuali sektor Perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil setelah merekodkan  penurunan pada bulan sebelumnya. Perkhidmatan makanan & minuman;  Pengangkutan & penyimpanan; dan Maklumat & komunikasi merupakan antara  penyumbang utama kepada pertumbuhan positif dalam sektor Perkhidmatan.  

Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merupakan komposisi terbesar  penduduk bekerja, menurun sebanyak 0.02 peratus kepada 11.87 juta orang pada  Julai 2021. Namun, kategori penduduk bekerja sendiri terus meningkat selama enam  bulan berturut-turut dengan pertambahan bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus  mencatatkan 2.50 juta orang pada Julai 2021. Selaras dengan kebenaran lebih  banyak sektor ekonomi dan perkhidmatan untuk beroperasi dengan pematuhan  kepada SOP ketika Fasa 1 dan Fasa 2 PPN, bilangan penduduk bekerja yang tidak  bekerja buat sementara waktu menurun sebanyak 3.1 peratus merekodkan 776.3 ribu  orang pada Julai 2021 (Jun 2021: 801.1 ribu orang) setelah mencatatkan peningkatan  selama dua bulan berturut-turut. 

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Ketua  Perangkawan berkata, “Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja  dan aktif mencari pekerjaan meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 651.3 ribu orang  (Jun 2021: 642.9 ribu orang). Golongan ini merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah  penganggur. Kumpulan penganggur kurang dari tiga bulan meliputi 53.9 peratus  daripada keseluruhan penganggur aktif, manakala 8.8 peratus lagi adalah terdiri  daripada mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi  setahun. Bagi penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia,  bilangannya meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 126.9 ribu orang  (Jun 2021: 6.4%; 125.8 ribu orang).” 

Bagi kumpulan yang tidak aktif, bilangan luar tenaga buruh terus meningkat untuk  bulan keempat dengan 0.3 peratus pada Julai 2021 merekodkan 7.48 juta orang (Jun 2021: 7.46 juta orang). Kerja rumah/ tanggungjawab keluarga merupakan  komposisi utama luar tenaga buruh dengan sumbangan sebanyak 46.4 peratus dan  diikuti oleh kategori bersekolah/ latihan (39.2%). 

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh, Ketua Perangkawan berkata,  “Secara umumnya, pasaran buruh berhubung secara positif dengan prestasi ekonomi.  Oleh itu, pelaksanaan PPN telah memberikan sedikit fleksibiliti kepada aktiviti ekonomi  dan perkhidmatan untuk kembali beroperasi selari dengan fasa PPN. Strategi  bersasar ini dapat mendorong pasaran buruh untuk pulih secara progresif. Dengan kebenaran bagi sebelas aktiviti perniagaan untuk beroperasi semula mulai 16 Ogos  2021 di bawah Fasa 1 ditambah dengan peralihan beberapa negeri kepada Fasa 3  dan Fasa 4, lebih banyak aktiviti pasaran buruh dijangka pada bulan-bulan akan  datang. Walau bagaimanapun, berikutan situasi kesihatan awam yang tidak menentu,  cabaran terhadap pasaran buruh mungkin berterusan. Berhubung perkara ini,  kerjasama dan kesedaran seluruh negara merangkumi individu, komuniti dan  perniagaan adalah penting dalam memastikan imuniti kelompok dapat dicapai,  sekaligus dapat memulihkan kembali ekonomi dan pasaran buruh negara.” 

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam  talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh  dapat dicapai. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam  menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana  data anda masa depan kita. Sila layari portal Banci Malaysia 2020  di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat  lanjut. 

Siti Fatimah