Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Bahaya Ke Guna Sehingga Boleh Dihukum Penjara? Ini Yang Korang Kena Tahu Istimewanya ‘Strobe Light’

Jika dilihat pada masa kini, pelbagai ubah suai yang dapat dilihat terutamanya pada kenderaan-kenderaan bermotor seperti kereta. Antara yang menjadi perhatian adalah Strobe Light yang dipasang kebiasaannya pada bahagian hadapan kereta, berkemungkinan untuk memberikan ‘penyeri’ kepada kenderaan persendirian.

Pun begitu, apakah sebenarnya Strobe Light ini dan apakah kegunaannya yang sebenar? Adakah sekadar hiasan untuk menampakkan sesebuah kereta itu lebih megah atau terdapat fungsi-fungsi khas?

Apa itu Strobe Light?

Seperti yang dilampirkan oleh Wikipedia, Strobe light merupakan sejenis alat yang dipasang pada kenderaan dan berfungsi untuk menghasilkan kilauan cahaya. Jika dilihat dengan lebih mendalam, Strobe Light tergolong dalam kumpulan stroboskop yang digunakan untuk menentukan kelajuan putaran atau getaran dan melaraskan gerakan sesuatu objek. Walau bagaimanapun, penulisan ini adalah tertumpu kepada Strobe light yang terdapat dalam bidang automotif, iaitu yang dipasang pada bahagian kereta. 

Strobe light kereta adalah alat yang dapat menghasilkan kilauan cahaya yang berwarna dengan frekuensi yang sangat cepat. Ia begitu popular dalam kalangan pemilik kereta kerana kemampuan cahaya yang kuat, ciri yang mudah dipasang dan ketahanan yang tinggi. Menurut Birmiss, strobe light biasanya dipasang di bahagian belakang gril radiator kereta.

Fungsi Strobe Light Pada Kenderaan

Memetik maklumat daripada portal Undergorund Lighting, Strobe Light bukanlah sekadar hiasan dan ia mempunyai fungsi-fungsi tertentu terutamanya ketika berada di atas jalan raya. Setelah diamati, ternyata Strobe Light ini memainkan peranan yang amat penting kepada pengguna-pengguna jalan raya.

Memberi Kesedaran dalam Kalangan Pengguna Jalan Raya

Penggunaan Strobe Light adalah kaedah terbaik untuk membezakan kenderaan kecemasan daripada kenderaan awam lain di jalan raya. Ini membolehkan pemandu lain mengetahui bahawa kenderaan rasmi atau kecemasan sedang melintasinya. Sekiranya ada kenderaan yang memasang lampu Strobe Light di jalan raya, pemandu dan pejalan kaki lain akan segera tahu bahawa mereka perlu memberi laluan kepada kenderaan tersebut. Ia membolehkan kenderaan kecemasan sampai ke tempat tujuan dengan cepat dan dapat segera mengatasi masalah yang sedang dihadapinya.

Menjamin Keselamatan di Jalan Raya

Lampu strobo membolehkan pengguna jalan raya membezakan tiap-tiap kenderaan. Sekiranya sesebuah kenderaan hanya mneggunakan lampu sorot, kenderaan itu dapat dilihat dengan serta-merta oleh pemandu lain walaupun dari jarak jauh. Selain itu, ia juga dapat memberi tahu pengguna jalan raya mengenai kejadian kemalangan yang berdekatan. Malah pekerja-pekerja penyelenggara jalan menggunakan Strobe Light untuk memberi amaran kepada pemandu bahawa terdapat kerja-kerja penyelenggaran jalan raya yang sedang dilakukan.

Adakah Strobe Light Berbahaya?

Di sebalik kepelbagaian fungsi Strobe Light, tidak dinafikan terdapat juga kesan negatif penggunaannya dalam kehidupan seharian seperti yang diceritakan dalam portal SMBX.

Boleh menyebabkan masalah penglihatan

Kajian menunjukkan bahawa stroboskopi cahaya pendarfluor yang terdapat pada Strobe Light boleh mempengaruhi lintasan pergerakan mata manusia ketika membaca teks sehingga membawa kepada masalah penglihatan.

Boleh menyebabkan migrain

Menurut laporan Yayasan Sakit Kepala Nasional: “Banyak pesakit migrain sangat sensitif terhadap cahaya, seperti cahaya terang dan kilaun. Kilaun cahaya dengan kadar yang perlahan biasanya lebih cenderung menyebabkan migrain berbanding dengan kilauan yang pantas.”

Boleh menyebabkan epilepsi fotosensitif

Orang yang sensitif terhadap cahaya mungkin mengalami sawan walaupun mereka terdedah kepada cahaya hanya dalam lingkungan 3-70HZ untuk jangka masa yang singkat. Biasanya, ia berlaku dalam nisbah yang sedikit, seperti 1 daripada 4,000 orang yang berusia 5-24 tahun. Selain itu, 75% penduduk didapati sensitif terhadap cahaya sepanjang hayat.

Lampu sorot membuatkan pemandu terganggu dan mengurangkan kecekapan kerja sehingga menyebabkan kemalangan 

Lingkaran bidang pandangan mata manusia lebih sensitif terhadap stroboskopik. Contohnya, Strobe Light yang berkelip yang dihasilkan oleh lampu ekor kereta akan menarik perhatian pemandu lain untuk memerhatikan cahaya tersebut. Ia akan menyebabkan pemandu hilang fokus pemanduan.

Jenis Kenderaan Yang Menggunakannya

Namun begitu, bukan semua jenis kereta boleh menggunakan Strobe Light. Peranti ini hanya dipasang pada kenderaan-kenderaan khas yang mempunyai fungsi tertentu seperti ambulans atau kereta polis.  Penggunaan Strobe Light pada kenderaan persendirian adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Pemasangan Strobe Light pada kenderaan-kenderaan khas seperti yang disebut sebentar tadi bertujuan untuk memaklumkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain bahawa mereka sedang menjalankan tugas. Oleh itu, mereka diminta untuk memberi laluan dan kerjasama yang tinggi. Dengan menggunakan Strobe Light bersama dengan siren, ia membolehkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain bertindak balas terhadap situasi kecemasan dengan lebih cepat.

Kredit: Underground Lighting

Adakah Penggunaan Strobe Light Dibenarkan di Malaysia?

Bukan sahaja di luar negara, malah di Malaysia penggunaan Strobe Light pada mana-mana kenderaan amat dititikberatkan sehingga tercatat sebuah akta berkaitan penggunaannya dalam undang-undang jalan raya. Hal ini bertujuan untuk mengawal pemasangannya secara berleluasa tanpa kebenaran khas.

Berdasarkan kiriman yang dimuat naik oleh akaun Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), dimaklumkan bahawa mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan “Strobe Light” pada kenderaan persendirian adalah menjadi suatu kesalahan. Pemandu boleh diambil tindakan di bawah Peraturan 138, Keadah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak lebih daripada RM2,000. Menurut Kaedah 24, Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lalu Lintas Jalan) 1959 hanya kenderaan Polis, Bomba, Ambulans dan JPJ sahaja dibenarkan mendapat hak laluan (Priority Over Traffic).

Kredit: Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysian Police)

Hanis Lyana