Setiap manusia pasti akan kembali kepada fitrahnya. Demikianlah juga bagi mereka yang terbuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam.
Hari ini, pelakon aksi terkenal tanah air, Adam Corrie melakar sejarah apabila berpeluang mengIslamkan dua pasangan berbangsa Cina dan India pada pagi tadi.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook, Adam dilihat mengajar mereka melafazkan dua kalimah syahadah di hadapannya, selain turut disaksikan oleh pegawai agama.
“Alhamdulillah, di hari Jumaat yang penuh keberkatan. Selamat kembali kepada fitrah wahai saudara-saudaraku.
“Ya Allah, berikanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ini (Al-Kahfi:10).
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami dari Islam setelah Engkau beri hidayah kepada kami. Limpahkanlah keimanan kepada kami dari sisi-Mu. Engkau Maha Pemberi rahmat kepada orang-orang mukmin (Ali Imran:8),” katanya di Facebook.
Mengimbas kembali, Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah telah memeluk Islam pada 13 Julai 2007 ketika usianya 39 tahun.
Bekas guru tarian ini juga turut pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah – Saudara Kita peringkat negeri Selangor pada 2017 lalu.
Pelakon yang terkenal dengan pembawakan watak antagonis ini pernah membintangi beberapa karya tempatan seperti Pontianak Harum Sundal Malam (2004), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Evolusi KL Drift 2 (2010) dan KL Gangster (2011 hingga 2o13).
Berikut di bawah adalah rakaman ketika sesi syahadah pagi tadi. Selain dimuat naik di Facebook, ia juga turut dikongsikan di laman TikToknya.
@adamcorrie_ #adamcorrie #syahadah #jumaat #cinaMuslim #reverted Alhamdulillah
@adamcorrie_ #adamcorrie #syahadah #jumaat #fyp #cinaMuslim #indiaMuslim #reverted Alhamdulillah
Video yang dikongsikan di Facebook pagi tadi telah ditonton hampir 60,000 kali setakat artikel ini ditulis. Ramai netizen begitu tersentuh hati melihat situasi itu.
Menerjah ke ruangan komentar, ada juga netizen yang turut berkongsi pengalaman mereka dalam situasi yang hampir serupa. Berikut di bawah adalah petikan luahan mereka.
“Saya sedih sebab saya tidak pernah dapat ketenangan yang paling tenang….” – Marissa
“Aku yang Islam dah lama ni pun umpama baru dapat hidayah….” – Zara
“Dulu diislamkan, sekarang mengislamkan..” – Kamarul
Sumber: Adam Corrie