Siakap Keli

Tya Arifin Kini Bergelar Pengacara, Kongsi Hal Positif & Beri Inspirasi Pada Orang Ramai Yang Terkesan

Selebriti terkenal Nurtria Wulandari Arifin atau Tya Arifin kini dilaporkan sah bakal bergelar pengacara yang akan mengendalikan program bual bicara dalam talian yang dikenali sebagai Bersama Tya.

Umum telah mengetahui bahawa wabak pandemik COVID-19 ini telah memberikan pelbagai impak kepada manusia khususnya daripada segi emosi.

Ekoran daripada itu, beliau berasa terpanggil untuk berkongsikan hal positif serta memberikan inspirasi kepada orang ramai yang terkesan dengan niat untuk membantu mereka menerusi program tersebut.

Program itu bakal bersiaran secara langsung di ‘Instagram Live’ pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu jam 10 malam.

 

Menurutnya, gara-gara terdapat kekakangan pergerakan sejak daripada wabak pandemik COVID-19 ini melanda negara, beliau terpaksa membiasakan diri dalam norma baharu bekerja dari rumah.

Terdahulu, isteri kepada Asyraf Khalid ini pernah berlakon, menyanyi dan menceburi perniagaan jus kesihatan, Mutyara.

“Dalam membiasakan norma baharu sekalipun berdepan  kekangan tertentu di era pandemik ini, kenapa tidak saya manfaatkan platform media sosial seperti Instagram hingga ke YouTube.

“Sebenarnya, dulu di negara kelahiran sendiri, Indonesia… saya pernah juga jadi penyampai radio. Cuma tak sempat berjinak jinak jadi pengacara,” katanya.

Di samping membiasakan diri hidup dalam norma baharu, beliau juga turut melaksanakan segala kerja secara sendirian.

“Untuk tugasan program ini, saya banyak melakukan semua kerja sendirian. Awalnya pasukan kerja saya yang menguruskan set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya. Lagi pun saya sudah terbiasa buat ‘live’ di Instagram, jadi tidak canggung.

“Selepas itu, pendek kata semua saya uruskan sendiri. Termasuklah menata rias diri, menentukan pakaian yang mahu dipakai. Malah tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang.

“Lagipun mudah kerana saya bersiaran di rumah. Anak pula jam 9 malam sudah masuk tidur. Jadi masa ‘live’ saya tak diganggu mereka. Pembantu rumah hanya ‘standby’ tekan butang ‘live’ di telefon bimbit saja,” katanya.

Difahamkan bahawa sehingga kini sudah lebih 30 episod yang dikongsikan di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin telah selesai bersiaran.

Selain daripada rakan artis dan personaliti dari Malaysia, beliau juga turut dilaporkan mengundang selebriti daripada Indonesia.

Antara yang pernah diundangnya dalam program tersebut adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zawiyah, Nina Ismail Sabri dan Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

“Saya fikir ketika pandemik ini ramai yang bergelut. Malah terlalu banyak hal negatif di media sosial. Setidak tidaknya perkongsian inspirasi dan positif daripada tetamu jemputan boleh menyebarkan aura baik.

“Isu yang dikupas juga sangat dekat dengan kita. Malah ada yang bersifat semasa dan terkini. Malah saya juga tak bataskan hanya tetamu jemputan di kalangan wanita saja. Nanti tetamu lelaki pun ada. Dulu perkongsian atau motivasi saya mungkin terbatas di kalangan usahawan.

“Tapi sekarang ini, sesiapa saja yang mengikuti saya di media sosial boleh mendapat benda sama. Malah saya juga ada kumpulan telegram Tya Arifin. Menerusi saluran itu banyak juga hal dikongsi. Boleh juga ke Instagram @bersamatya,” katanya yang meminati Ellen Degeneres dan Mata Najwa.

Beliau juga turut berharap agar pada suatu hari nanti beliau dapat mengundang wanita berpengaruh seperti Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menjadi tetamu jemputan dalam programnya.

“Dapat jemput Tun Dr Siti Hasmah jadi tetamu pasti saya akan rasa bangga. Begitu juga di kalangan figura wanita yang menjadi kekuatan pemimpin di Indonesia.

“Malah saya bercita cita mengundang tokoh pemimpin dan motivasi lain selepas ini,” katanya.

Di akhir bicara, beliau juga tidak terlepas ditanya berkenaan kerinduan terhadap keluarganya yang berada di kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat bertemu akibat wabak pandekik COVID-19.

“Bab rindu ini sebenarnya bagai  sudah kering air mata. Kerinduan itu terlalu berat. Tapi apa daya kita melawan ujian pandemik ini. Nak rentas negara, bukan perkara mudah. Saya reda,” katanya yang sudah lengkap dos dua vaksin.

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.