Siakap Keli
Gambar Via Facebook

“Love Lock” Dipotong, Puteri & Atyl Trending Hari Ini, Netizen Simpati Cinta ‘Tak Dipersetujui’

Setiap pasangan yang bercinta sentiasa mempunyai cara yang tersendiri untuk mengabadikan cinta mereka, bahkan sehingga sanggup melakukan sesuatu yang mungkin dirasakan tidak masuk akal oleh orang sekeliling.

Rasanya ramai yang tahu mengenai mangga kunci cinta atau love lock yang dikatakan menjadi lambang hubungan cinta yang berkekalan sehingga hujung nyawa.

Trend mengunci mangga di jambatan itu popular di beberapa negara termasuk di Perancis dan Korea Selatan yang menyaksikan ia menjadi lokasi tumpuan wajib bagi pelancong dari seluruh dunia.

Bercakap mengenainya, semalam, tular mengenai satu love lock yang telah diletakkan di Jambatan Gantung Satok, Sarawak.

Menerusi beberapa perkongsian yang dimuatnaik oleh netizen di media sosial, kewujudan satu-satunya mangga di jambatan itu disedari selepas ia memancarkan kilauan apabila dilihat dari jauh.

Bagaimanapun, love lock yang tertera nama Puteri dan Atyl itu tidak kekal lama kerana ia telah dipotong oleh pihak berkuasa agar ia tidak menjadi trend selepas ini.

Kewujudan mangga itu pastinya mendapat pelbagai reaksi, khususnya dari penduduk Sarawak yang menyokong ia dipotong bagi menjaga ‘keutuhan’ mercu tanda di bandar raya itu.

Rata-rata dari mereka turut ‘bersimpati’ kerana cinta yang telah ‘dikunci’ di jambatan tersebut nampaknya ‘tidak berkekalan’. Namun, mereka mendoakan agar hubungan pasangan itu tetap baik-baik saja.

 

Jambatan Gantung Satok dibina semula dan dibuka kepada pengunjung sejak bulan lalu setelah pernah runtuh pada 7 Oktober 2004.

Sumber: Facebook, Twitter

Sofea

There's always another side to every story