Pasti ramai rakyat Malaysia yang kenal Proton Saga, kereta nasional pertama yang menjadi kebanggaan negara. Walaupun model Proton Saga dah berubah seiring peredaran zaman, legasi kereta legend ni masih diteruskan sampai sekarang.
Kalau di Malaysia, mungkin tak terkejut la kalau ada peminat kereta klasik yang masih memiliki model lama Proton Saga. Tapi populariti Proton Saga ni bukan calang-calang, sampai ke United Kingdom pun ada peminat kereta legend ni.
Melalui sebuah video yang dimuatnaik di saluran YouTube Furious Driving, lelaki yang berasal dari UK ni berkongsi ‘penemuan’ Proton Saga Iswara keluaran 1993 yang dah 10 tahun terbiar. Lebih mengejutkan, kereta berusia hampir 30 tahun ni ‘ditemui’ dalam keadaan yang sangat sempurna, macam kereta baru!
Proton Iswara ini sebenarnya dah ada pembeli iaitu rakan lelaki tersebut yang dikenali sebagai Steph. Keluarga pemilik asal Proton Iswara ni telahpun berhubung dengan Steph dan lelaki ini hanya pergi melihat keadaan kereta tersebut terlebih dahulu.
Kereta berkenaan dikatakan telah disimpan oleh keluarga itu di dalam bangsal mereka sejak sedekad lalu. Walaupun dah berusia hampir tiga dekad, mileage kereta ni baru je 10,724 batu atau 17,289 kilometer. Difahamkan yang Proton Iswara ni terakhir kali ‘bergerak’ pada tahun 2010 dan tak digunakan lagi sejak itu.
Bahagian luarannya termasuk panel-panel dan cat badan, unit-unit lampu dan sebagainya masih seperti baru, hanya diselaputi oleh habuk dan debu kotoran.
Kereta ni disimpan di dalam bangsal yang tiada akses pencahayaan. Jadi getah pengelap cermin atau wiper kereta tersebut masih lembut macam baru beli.
Malah keempat-empat tayar Proton Iswara ni masih belum kempis. Di kebanyakan bahagian seperti tempat duduk, pelapik kaki dan kabin pun nampak macam baru. Pemilik asal turut meletakkan lapisan perlindungan berwarna hitam bagi mengelakkan bahagian bawah lantai daripada berkarat.
Menjengah ke ruangan enjin, didapati tiada sebarang kebocoran minyak berlaku. Minyak enjin juga dalam keadaan bersih macam baru tukar dan dikatakan tangki petrol Proton Iswara tersebut masih 3/4 penuh.
Semasa pertama kali kereta ini dikeluarkan setelah sedekad di dalam bangsal, brek kereta tak tersekat sama sekali dan tayarnya masih mempunyai tekanan udara.
Dengan satu putaran kunci, kereta buatan Malaysia ni terus hidup membuatkan Steph, wanita yang membelinya sangat teruja dan hampir tak percaya dengan keadaan kereta ‘baru’nya itu.
“Semua orang Malaysia kini tengah cemburu dengan saya,” kata Steph di akhir video, berpuas hati dengan Proton Iswara klasik yang kini jadi kepunyaannya.
Sumber: Furious Driving