Siakap Keli
Gambar: Bernama

Segerakan Penggubalan Akta Antilompat Parti – Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) — Penggubalan akta antilompat parti wajar disegerakan dengan menjadikan usul rang undang-undang pemecatan Ahli Parlimen sebagai asas, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Semasa sesi perbahasan Titah Diraja, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata menerusi rang undang-undang yang dicadangkannya, kuasa untuk menggantikan wakil rakyat yang melompat parti harus ditentukan oleh rakyat, selaras agenda transformasi pentadbiran Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik baru-baru ini.

“Wujudkan satu mekansime melalui rang undang-undang pemecatan Ahli Parlimen 2021 supaya senarionya lebih terbuka dan diberikan kuasa kepada rakyat untuk tentukan sama ada nak ganti atau tidak kepada (Ahli Parlimen) yang lompat itu.

“Transformasi pentadbiran yang dicadangkan kerajaan dengan wujudkan akta antilompat parti, wajib dan wajar dilakukan  secepat mungkin. Saya minta tolong Yang Berhormat Santubong (Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) untuk berikan laluan fast track kepada rang undang-undang saya untuk didebatkan dan diambil alih kerajaan sebagai asas kepada akta antilompat parti dan pemecatan Ahli Parlimen 2021 digabungkan bagi mewujudkan Parlimen yang lebih berwibawa dan merangkumi.

“Diharapkan 44 Ahli Parlimen kerajaan yang tidak memegang jawatan manakala 105 blok pembangkaang memainkan peranan untuk negara atas semangat perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan Keluarga Malaysia dan bukan Keluarga 69,” kata Ahli Parlimen BN itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen dari blok pembangkang turut menyokong kenyataan Azalina termasuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan)  yang menyifatkannya sebagai satu cadangan yang waras dan bernas agar rakyat diberi peluang menentukan perkara berkaitan Ahli Parlimen mereka.

Azalina berkata rang undang-undang pemecatan Ahli Parlimen 2021 merupakan rang undang-undang peribadi yang dikemukakan beliau.

Beliau turut mencadangkan supaya mewujudkan suruhanjaya perkhidmatan khas melibatkan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Beliau berkata dua jawatan itu perlu disandang individu berbeza dan mencadangkan pelantikan Menteri Undang-undang sebagai Peguam Negara, manakala Pendakwa Raya harus bebas daripada unsur politik.

“Kita pernah mempunyai menteri kabinet yang juga Peguam Negara iaitu Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tan Sri Hamzah Abu Samah, jadi sekurang-kurangnya Peguam Negara boleh jawab (di Parlimen perkara-perkara) melibatkan undang-undang. Saya mencadangkan dan memberi teguran supaya terima hakikat mendakwa adalah kuasa yang begitu besar.

“Kalau Menteri Undang-undang jadi Peguam Negara, dia dilihat sebagai aspek politik… namun Pendakwa Raya di banyak negara mempunyai imuniti, iaitu lebih kepada keputusan mendakwa. Kita tak mahu ada konflik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau akan menyokong sepenuhnya sekiranya rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata butiran kandungan rang undang-undang itu sangat penting dan ia perlu jelas supaya rakyat di negara ini memahami kerana rakyat sudah tidak yakin dengan kestabilan politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kita perlu tahu kandungannya. Adakah selepas orang lompat parti, akan diadakan pilihan raya di Parlimen tersebut. Adakah selepas lompat parti, individu itu akan digantung bagi dua penggal ataupun digantung seumur hidup supaya tidak dapat bertanding lagi,” katanya.

Beliau berkata RUU itu mampu menjadi contoh kepada rakyat dan satu landasan yang betul kepada ahli Parlimen selain tidak mementingkan kepentingan peribadi atau parti.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right