Siakap Keli
Kredit: Bernama

TERKINI: Pelancong Ke Langkawi Bermula 16 Sept Wajib Jalani Ujian Saringan COVID-19 – Khairy

Pelancong ke Pulau Langkawi perlu menjalani saringan COVID-19 bermula esok, 16 September, kata Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin.

Jelasnya, hal ini bagi mengelakkan wujudnya kluster baru melibatkan gelembung pelancongan tersebut.

“Projek rintis Pelancongan Gelembung Langkawi perlu dilaksanakan dengan berhati-hati. Oleh itu setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula 16 Sep wajib menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas,” katanya dalam satu kicauan hari ini.

“Kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif COVID-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.”

Ujarnya, ujian itu tertakluk kepada semua individu dewasa, remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.

  1. Pelancong perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-antigen) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.
  2. Pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian di sana.
  3. Pelancong juga boleh membeli kit ujian sendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesahan di situ.

“Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan air liur,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nancy Shukri menyatakan saringan COVID-19 untuk pelancong ke Langkawi adalah tidak diwajibkan.

Sumber: Khairy Jamaluddin

"