Mengubah suai kenderaan mungkin menjadi hobi dan pilihan oleh sesetengah individu, kebanyakannya bertujuan untuk menambahkan lagi ‘seri’ dan fungsi jentera tersebut.
Bagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Sebaliknya pemilik kenderaan perlulah mengikuti beberapa garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Justeru, berikut di bawah adalah senarai pengubahsuaian kenderaan yang dibenarkan mengikut spesifikasi JPJ:-
1) Pemasangan air spoiler, side skirt & aerofoil
Pemasangan air spoiler, aerofoil atau side skirt mestilah tidak boleh melebihi 150 milimeter diukur dari bahagian luar tayar belakang.
2) Pemasangan door visor
Pemasangan door visor hendaklah tidak boleh melebihi 100 milimeter lebar dan tinggi.
3) Pemasangan tambahan bumper pada bahagian hadapan atau belakang kenderaan & protecting guards (kangaroo bar) pada bahagian depan
Pemasangan tambahan bumper atau protecting guard (kangaroo bar) di bahagian depan atau belakang mestilah tidak boleh melebihi 50 peratus daripada besi roda kenderaan.
Selain itu, pemasangannya juga mestilah tidak boleh menutupi lampu-lampu kenderaan dan tidak mempunyai bucu-bucu tajam atau bahagian terjulur keluar melebihi 100 milimeter.
Pemasangannya juga mestilah tidak boleh melebihi 150 milimeter daripada keseluruhan lebar badan kenderaan.
4) Pemasangan rim & tayar lebih besar (persendirian sahaja)
Sekiranya rim atau tayar yang lebih besar digunakan, ia mestilah ditutup sepenuhnya dengan mudguards atau mudflap.
Bagaimanapun, pemasangan tayar yang lebih besar sehingga mengubah ketinggian keseluruhan kenderaan adalah tidak dibenarkan.
5) Pemasangan sun roof / moon roof / canvas top di atas bumbung
Pemasangan sun roof / moon roof / canvas top mestilah dilakukan dengan hanya menebuk sebahagian bumbung sahaja tanpa melibatkan pemotongan pillar bumbung asal atau pemotongan pada casis kenderaan.
Dalam masa sama, pengubahsuaian tersebut mestilah dilakukan pada bahagian tengah bumbung sahaja dan tiada kesan sambungan atau kimpalan pada mana-mana bahagian yang lain.
6) Pemasangan membawa tangga / bot / surf board
Para bumbung hendaklah dipasang dengan kukuh pada kenderaan dan ukuran tingginya tidak boleh melebihi 230 milimeter dari paras bumbung.
Lebar dan panjang para bumbung pula mestilah tidak melebihi luas bumbung, selain tangga / bot / surf board di atasnya mestilah tidak melebihi bahagian depan & belakang kenderaan.
Selain itu, tangga / bot / surf board yang dibawa mestilah diikat dengan kuat pada para bumbung, sekurang-kurangnya dua ikatan.
Roda hadapan kenderaan pula mestilah menanggung beban sekurang-kurangnya 20 peratus daripada berat bot / surf board.
7) Penukaran kotak gear manual / automatik
Tiada pengubahan struktur dilakukan pada front cross member, steering linkage dan steering box.
Selain itu, pemilik tidak boleh buat pengubahsuaian pada base mounting dan tiada kimpalan pada struktur tambahan mounting.
Tiada juga pengubahsuaian pada base enging mounting dan tiada kimpalan pada struktur tambahan engine mounting.
8) Pemasangan kanopi
Pemasangan kanopi jenis hard-top mudah alih ini atau kanvas hanya dibenarkan untuk kenderaan jenis twin cab pick-up sahaja, di mana jumlah penumpang adalah lima orang.
Selain itu, panjang, tinggi dan lebar kanopi pula mestilah tidak melebihi dimensi asal kenderaan.
Ketelusan Cahaya Tampak pada semua cermin tingkap kanopi mestilah mematuhi Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengunaan Kaca atau Bahan Lutsinar Lain) (Pindaan) 2019.
Lampu brek ketiga hendaklah dipasang di bahagian belakang kenderaan selepas pemasangan kanopi dilakukan.
Bagaimanapun, tempat duduk tambahan yang dipasang pada ruang kanopi tersebut adalah tidak dibenarkan.
9) Pemasangan winch, winch bar, side step, rear bar & snorkel
Pemasangan winch, winch bar, snorkel, side step dan rear bar hendaklah dipasang dengan kuat dan kemas supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
Winch bar, rear bar dan side step yang dipasang pula hendaklah tidak boleh melebihi 150 milimeter keseluruhan lebar kenderaan serta tidak boleh menutupi lampu-lampu dan nombor pendaftaran kenderaan.
Selain itu, pemasangan aksesori yang dipasang itu mestilah tidak boleh mengganggu identiti asal kenderaan tersebut.
10) Pemasangan roof-rack (para bumbung) / bike carrier (persendirian sahaja)
Para bumbung hendaklah dipasang dengan kukuh pada kenderaan dan ukuran tingginya tidak melebihi 230 milimeter dari paras atas bumbung, selain lebar dan panjangnya tidak melebihi luas bumbung.
Selain itu, mana-mana kenderaan tidak boleh membawa muatan yang mengunjur melebihi belakang, hadapan atau tepi badan kenderaan.
Ukuran basikal di atas bumbung kenderaan pula mestilah tidak melebihi bahagian hadapan, belakang dan tepi bumbung, serta perlu diikat dengan kuat dan kemas.
Bagaimanapun, pemasangan bike carrier pada bahagian belakang kenderaan adalah tidak dibenarkan sama sekali.
11) Pemasangan spot light (persendirian sahaja)
Pemasangan spot light hanya dibenarkan pada kenderaan jenis 4×4 sahaja dan ia mestilah berwarna putih atau amber, dipasang di bahagian hadapan kenderaan sebagai tambahan kepada lampu sedia ada.
Hanya dua unit spot light sahaja dibenarkan untuk dipasang pada kenderaan. Bagaimanapun, pemasangan spot light di atas bumbung kenderaan adalah tidak dibenarkan.
Selain itu, spot light hanya boleh digunakan semasa aktiviti off-road sahaja dan hendaklah ditutup apabila digunakan di atas jalan raya.
Ketinggian pemasangan spot light pula hendaklah tidak melebihi lima kaki atau 1,524 milimeter dari atas permukaan jalan.
Sumber: Portal rasmi JPJ