Siakap Keli
Gambar: Bomba via Bernama

Wanita Maut Tertimbus Dalam Insiden Tanah Runtuh Di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS, 16 Sept (Bernama) — Seorang wanita tempatan maut akibat tertimbus dalam insiden tanah runtuh yang melanda rumahnya di Sungai Palas di sini hari ini.

Ketua Zon 3, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, wanita berusia 59 tahun itu ditemui anggota pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands pada 5.41 petang.

“Semasa kejadian, terdapat empat orang di dalam rumah tersebut. Seorang wanita telah tertimbus dan jengkaut telah digunakan untuk mengeluarkan mangsa.

“Sementara itu, seorang anak perempuannya berusia 29 tahun mengalami kecederaan disebabkan insiden berkenaan manakala suami mangsa dan seorang lagi anak perempuannya berjaya menyelamatkan diri,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hujan lebat kira-kira dua jam sebelum kejadian menyebabkan berlaku pergerakan tanah di bahagian atas sehingga mengakibatkan sebahagian rumah mangsa roboh dan dihanyutkan air.

Katanya seramai 13 anggota dari BBP Cameron Highlands dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.30 petang.

Sumber: BERNAMA

Eyla Azri