Siakap Keli
Gambar Via Metro.co

Wanita Rasa ‘Pelik’ Selepas Gigit Burger, Rupanya Temui Jari Dipercayai Milik Pekerja Kilang Daging Burger

Pihak berkuasa di bandar Santa Cruz, Bolivia kini dilaporkan sedang menyiasat mengenai dakwaan kes jari manusia yang ditemui di dalam hamburger.

Difahamkan, jari yang telah membusuk itu merupakan milik seorang pekerja yang terlibat dalam kemalangan di kilang di mana burger itu dibuat.

‘Misteri’ itu bermula apabila seorang wanita dilaporkan telah menggigit burger yang dibeli di sebuah restoran makanan segera di bandar itu.

Menurut Daily Star, wanita itu merasakan sesuatu yang sangat keras ketika menggigit burger itu dan meludahkannya. Dia merasa terkejut dan jijik apabila menyedari bahawa itu adalah jari manusia.

Tanpa menunggu lama, dia melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan hasil siasatan mendapati bahawa ia sememangnya jari manusia yang telah busuk.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Pengguna Bolivia, Jorge Silva mengatakan bahawa siasatan mendapati bahawa semua bukti menjurus kepada pekerja kilang yang telah kehilangan dua jari.

“Semua fakta menunjukkan bahawa pekerja yang mengendalikan mesin penggiling daging itu mungkin telah kehilangan dua jari.

“Salah satu dari jari itu telah dimasak menjadi hamburger dan satu lagi tidak diketahui di mana,” katanya.

Namun, dia juga mengatakan bahawa ada kemungkinan jari yang satu lagi telah dijadikan ‘hidangan’ burger yang dihantar ke cawangan lain.

Sumber: Daily Star

Sofea

There's always another side to every story