Akhir-akhir ini, perbuatan gurauan seperti prank, satira, parodi, komedi dan seumpamanya semakin menjadi ikutan di media sosial. Sekali pandang, ia mungkin nampak kelakar dan menghiburkan.
Menurut penjelasan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. MAZA, hukum gurauan seperti ini secara umum pada asalnya adalah dibenarkan dalam Islam.
Menerusi laman Twitternya malam ini, beliau memuat naik kenyataan fatwa mengenai isu gurauan dalam Islam sepertimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-53 / 2021.
“Hukum gurauan secara umum pada asalnya adalah dibenarkan. Ia tertakluk kepada hukum asal iaitulah dibenarkan melainkan jika terdapat perkara yang mencanggahi syariat.
“Jika ia bertujuan membawa kepada kebaikan dan dilakukan dengan cara yang baik seperti untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab, pendidikan yang berkesan atau segala maksud yang baik, maka ia boleh mendatangkan pahala,” katanya.
Bagaimanapun menurut Dr. MAZA, hukum gurauan sedemikian boleh berubah menjadi haram jika mengandungi unsur-unsur yang tidak sepatutnya, antaranya mempermain-mainkan agama Islam sama ada daripada sudut kepercayaan, syiar atau amalan.
Selain itu, unsur yang tidak dibenarkan termasuklah memperlekeh dan merendahkan orang lain dalam perkara dan bentuk yang tidak wajar sama sekali.
Unsur lain adalah mereka-reka sesuatu yang tidak wujud yang membawa keburukan, selain turut mendatangkan mudarat kepada pihak lain sama ada daripada segi fizikal, emosi, maruah, harta atau ketenteraman individu atau masyarakat.
Tidak kurang juga, unsur lain yang turut menyumbang adalah perlakuan maksiat, dosa dan kemungkaran, serta bahasa dan perlakuan yang tidak wajar menurut uruf setempat.
Justeru, umat Islam dinasihatkan untuk mementingkan sifat kesederhanaan, keseimbangan dan kesesuaian sebagaimana yang dianjurkan dalam agama, termasuklah dalam permasalahan gurauan.
Sumber: Twitter Mufti Perlis