Siakap Keli

Ragut 10 Nyawa Orang Awam, Amerika Mohon Maaf & Mengaku Serangan Dron Di Kabul “Satu Kesilapan Tragis”

Kerajaan Amerika Syarikat melalui Pentagon mengakui kesilapan pihaknya dalam satu serangan dron di Kabul, Afghanistan pada bulan lepas yang meragut nyawa 10 orang awam termasuk 7 kanak-kanak.

“Sebagai seorang ketua, saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas serangan dan kejadian malang ini,” kata Komander Angkatan Marin AS, Jeneral Kenneth McKenzie.

Beliau kemudian turut mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Menurut laporan CNBC, serangan dron berkenaan dilancarkan untuk mengebom kedudukan anggota kumpalan ISIS-K yang dipercayai terlibat dalam serangan berdekatan Lapangan Terbang Hamid Karzai di Kabul, yang meragut puluhan nyawa termasuk 13 anggota tentera Amerika Syarikat.

”Serangan dron ini dilakukan berdasarkan maklumat bahawa ia dapat menghapus ancaman terhadap kedudukan anggota tentera dan pelarian di kawasan lapangan terbang, bagaimanapun berlaku kesilapan,” katanya McKenzie lagi.

Dalam laporan awal, serangan dron berkenaan dilaporkan berjaya membunuh dua anggota kumpulan ISIS-K dan ketika serangan, tiada laporan yang menunjukkan orang awam berada di kawasan sasaran.

Hasil siasatan lanjut bagaimanapun menyimpulkan bahawa tiada anggota ISIS-K yang terkorban dan kenderaan yang menjadi sasaran serangan tersebut sebaliknya dinaiki oleh orang awam.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin yang mengarahkan siasatan lanjut dijalankan dan menilai sama ada prosedur serangan dron perlu dikaji semula.

Amerika Syarikat ketika ini sedang mempertimbangkan untuk membayar pampasan kepada ahli mangsa keluarga yang terlibat, bagaimanapun mengakui pengundurannya dari Afghanistan akan menyukarkan proses tersebut.

Sumber: CNBC, The Guardian

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.