Siakap Keli
Gambar: SI & Twitter

Adik Aaron Tulis Surat Kepada Ronaldo Nak Minta Jersi, Perlu ‘Kuasa’ Netizen Viralkan Sampai CR7 Nampak

Christiano Ronaldo bukan satu nama asing dalam kalangan peminat bola sepak. Penyerang asal Portugal itu sering menjadi sorotan lensa kamera dan merupakan antara individu yang mempunyai pengikut paling ramai di media sosial.

Ronaldo bukan sahaja popular di kalangan peminat dewasa, malah kanak-kanak turut menjadikan pemain penyerang ini sebagai idola.

Menjadi salah seorang peminat cilik Ronaldo, kanak-kanak berusia enam tahun dari Malaysia ini menulis surat untuk idolanya dan dimuatnaik di laman Twitter oleh seorang lelaki, dipercayai bapanya.

Isi surat tersebut bermaksud:

Kehadapan Ronaldo,

Nama saya Aaron Jude Balraj. Saya  dari Malaysia dan saya berusia enam tahun. Saya suka menonton perlawanan bola sepak anda.

Saya adalah salah seorang peminat setia. Saya tak pernah terlepas mengikuti perlawanan anda tapi saya terlepas aksi dengan Young Boys. Boleh ke kalau saya dapatkan satu jersey dari anda? Saya sangat berharap sebab saya suka jersey anda.

Saya harap satu hari nanti saya boleh jumpa anda depan-depan. Bye. Jumpa lagi. Salam sayang,

Aaron

Walaupun merasakan tweet ini mungkin sukar untuk sampai ke Ronaldo sendiri, tapi pengunggah yang dikenali sebagai Reuben Jude tetap optimis dan menganggap ia berbaloi untuk dicuba.

Perlawanan yang adik Aaron ni terlepas merupakan perlawaan Manchester United menentang kelab Switzerland, Young Boys di mana Ronaldo turut beraksi.

Ronaldo menyumbang gol pertama dan terakhir kepada Manchester United dalam perlawanan yang berlangsung di Stadion Wankdorf, selepas 13 minit perlawanan berlangsung.

Pun begitu, jaringan tunggal Ronaldo tidak mampu memberi kemenangan kepada Manchester United setelah Young Boys bangkit pada babak kedua perlawanan dengan jaringan dua gol.

Walaupun peminat cilik ni terlepas aksi Ronaldo dalam perlawanan mengecewakan menentang Young Boys Rabu lalu, tapi harapnya surat adik Aaron ni sampai ke pengetahuan bintang bola sepak tersebut.

Semoga berjaya!

Sumber: Twitter Reuben Jude

Eyla Azri