Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Angin Banyak Dalam Badan? 6 Posisi Ni Boleh Cuba Untuk Senang Kentut

Boleh dikatakan, semua orang pernah mengalami masalah kembung perut yang mungkin disebabkan makan terlalu banyak ataupun terlewat makan sehinggakan perut dipenuhi angin. Jadi jalan penyelesaiannya ialah kentut.

Bercakap mengenai kentut ataupun membuang angin, ianya adalah proses semulajadi yang tidak memerlukan bantuan. Pun begitu, jangan tidak tahu bahawa terdapat juga orang yang menghadapi kesukaran untuk perkara ini.

Bertepatan dengan bab ini, portal Hello Doktor ada berkongsikan beberapa tips yang boleh dilakukan untuk lebih senang kentut.

Semua orang pernah kentut, bukan? Namun, ada kalanya pengumpulan gas dalam tubuh boleh menyebabkan perut kembung dan sakit. Adakah terdapat cara membuang angin dalam badan untuk dicuba?

Proses semula jadi

Kentut adalah proses semula jadi yang tidak memerlukan bantuan.

Walau bagaimanapun, ada individu mungkin berdepan kesukaran untuk melepaskan angin daripada tubuh sehingga mewujudkan ketidakselesaan perut.

Pengambilan makanan tertentu atau makan terlalu cepat boleh menjadi antara punca kembung perut dan berangin.

Selain itu bahagian otot perut yang keras juga boleh menjadi faktor yang menyebabkannya.

Dalam kes ini, teknik yoga tertentu mungkin boleh digunakan sebagai cara membuang angin dalam badan yang berkesan!

Cara membuang angin dalam badan

Kebanyakan posisi yoga ini – dikenali sebagai asanas, amat sesuai dilakukan sendiri dalam persekitaran tenang dan menyelesakan.

Ia boleh dipraktikkan di mana-mana sahaja. Tetapi relaksasi adalah kunci utama untuk menyingkirkan gas daripada tubuh.

Oleh itu, penting untuk individu berasa selesa semasa melakukannya.

Berikut 6 teknik yoga yang dapat membantu melancarkan proses mengeluarkan gas daripada tubuh:

#1. Child pose

Posisi ini adalah teknik yoga asas yang mungkin paling berguna sebagai cara membuang angin dalam badan.

Dalam bahasa Sanskrit, disebut sebagai Balasana.

Ia dapat melonggarkan pinggul dan bahagian bawah tubuh, sekali gus membantu menggerakkan gas melalui usus.

Untuk mencuba teknik ini, pertama sekali anda perlu duduk secara melutut. Pastikan punggung anda duduk di atas tumit kaki.

Kemudian, regangkan lengan ke hadapan dan selaraskan lutut untuk lebih keselesaan.

Biarkan dahi menyentuh lantai sementara badan (torso) direhatkan di atas kaki.

Gambar via Hello Doktor

Posisi ini akan mewujudkan tekanan lembut pada perut yang boleh mendorong penyingkiran angin dalam badan.

Bagi sesetengah individu, mereka mungkin akan berasa lebih selesa sekiranya punggung diangkat sedikit ketika melakukan teknik ini.

Ada juga yang lebih santai dengan meletakkan tangan di sisi kaki dan telapak tangan menghala ke atas.

Cara membuang angin dalam badan #2. Lutut ke dada

Sebutan Sanskrit bagi teknik yoga ini disebut Apanasana, yang bermaksud posisi tenaga bergerak ke bawah.

Anda boleh memulakan yoga ini dengan berbaring secara menelentang. Seterusnya bengkokkan lutut untuk membentuk sudut 90 darjah.

Gambar: PixaHive

Selaraskan lutut dan pergelangan kaki, kemudian tarik lutut atau paha ke bahagian dada.

Semasa melakukan pergerakan ini, rapatkan dagu ke dada atau cuba untuk seakan mencium lutut.

Kekal bertahan dalam posisi Apanasana ini untuk tempoh antara 15 saat hingga 1 minit agar dapat memberikan tekanan pada perut untuk melepaskan angin.

#3. Happy baby pose

Diberikan nama sebegitu kerana menyerupai gaya bayi yang sedang mencengkam kaki ketika berbaring.

Ananda Balasana – gelaran Sanskrit – dikatakan dapat membantu menghilangkan tekanan pada bahagian pinggul bawah dan pangkal paha serta sebagai cara membuang angin dalam badan.

Gambar via Parade

Ingin cuba teknik ini?

Anda perlu berbaring secara menelentang dan mengangkat lutut ke bahagian sisi badan.

Pastikan lutut dibengkokkan dan kemudian halakan telapak kaki ke arah atas.

Sekiranya boleh, pegang kaki dengan tangan dan biarkan bahagian belakang badan berbaring sepenuhnya pada lantai.

Tarik kaki ke bawah sedikit dengan tangan untuk mewujudkan ketegangan.

Kekal bertahan pada kedudukan ini selama 1 minit. Ketegangan dan tekanan yang dirasai akan dapat membantu mengeluarkan gas daripada perut.

Cara membuang angin dalam badan #4. Membongkok ke hadapan

Untuk melakukan teknik yoga yang dinama Paschimottanasana ini, anda perlu duduk tegak di atas lantai dengan kaki diluruskan ke hadapan.

Kemudian, bengkokkan pinggang ke hadapan. Cuba untuk letakkan dada pada bahagian lutut tanpa membengkokkannya.

Regangkan tangan ke hadapan untuk menyentuh jari kaki atau sejauh yang mungkin.

Penolakan tubuh ke depan ini dapat membantu memberikan tekanan pada perut, yang secara tidak langsung menimbulkan keinginan untuk kentut.

Gambar: Fitsri

#5. Squat

Squat atau juga dikenali sebagai Malasana dalam bahasa Sanskrit.

Ia adalah teknik yoga akan memberikan tekanan pada bahagian kanan perut bagi membantu mengeluarkan angin dalam badan.

Anda perlu berdiri tegak dan kaki dibuka mengikut lebar pinggul.

Turunkan tubuh serendah yang boleh dengan mendorong punggung ke belakang. Depakan tangan ke hadapan untuk keseimbangan.

Gambar: Men’s Health

#6. Memusingkan perut

Ini teknik yoga dan senaman regangan yang menggabungkan gerakan memutar (Twist).

Dalam bahasa Sanskrit, teknik belly twist dinamakan Jathara Parivartanasana.

Anda perlu berbaring menelentang dan membengkokkan lutut ke arah sebelah sisi badan.

Cara membuang angin dalam badan yang lain adalah dengan memusingkan batang tubuh (torso) sambil berdiri tegak.

Gerakan ini dipercayai dapat memberikan tekanan pada bahagian dalaman dan membantu menyingkirkan angin.

Gambar via Hello Doktor

Tuntasnya

Membuang angin atau kentut secara terbuka mungkin tidak boleh diterima secara sosial. Tetapi ia adalah fungsi semula jadi tubuh yang tidak boleh dinafikan.

Bagi mereka yang berdepan kesukaran untuk kentut, mencuba teknik yoga di atas adalah cara membuang angin dalam badan yang selamat.

Jika masih tidak berjaya, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan penyelesaian yang bersesuaian.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa