Siakap Keli
Kredit: Google

Kerajaan Digesa Segerakan Pembentangan RUU Gangguan Seksual

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Beberapa Ahli Parlimen hari ini menggesa kerajaan membentangkan rang undang-undang mengenai gangguan seksual di Dewan Rakyat dengan kadar segera bagi melindungi golongan wanita di negara ini.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berkata walaupun terdapat peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Akta Kerja 1955 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun terdapat banyak lagi ‘grey area’ terutama ketika menyentuh mengenai gangguan seksual siber.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial digunakan sepenuhnya sebagai satu daripada platform dalam libat urus.

“Saya juga melihat bahawa model All-Party Parliamentary Group Malaysia-Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) bagi menangani isu wanita adalah bersesuaian, malah boleh digunakan dalam skop yang lebih luas,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 12 Sept lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (AGS) telah mula digubal secara kolektif melalui satu pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Sementara itu Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata rang undang-undang berhubung perkara itu perlu segera dibentang dan diluluskan bagi membendung isu ganguan seksual terutamanya di sekolah, asrama dan institut pengajian tinggi.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Murid oleh Kementerian Pelajaran sejak 2011 tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa.

Katanya kedua-dua SOP dan garis panduan itu harus digantikan dengan yang baharu selari dengan ketetapan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Kes-kes gangguan seksual di sekolah, asrama dan institut pengajian tinggi adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ia memerlukan campur tangan serius pihak kerajaan dan kementerian-kementerian yang berkenaan,” kata bekas Menteri Pendidikan itu.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) pula meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menambah peruntukan untuk Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menambah tenaga kerja yang mempunyai pengalaman untuk menyelesaikan aduan kes-kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau juga mencadangkan KDN supaya cawangan khas PDRM memberi tumpuan dan memanfaatkan sumber serta kepakaran polis untuk menangani kes-kes pedofil dalam negara.

Sumber: BERNAMA

" "