Jaguh tinju Filipina, Manny Pacquiao atau dikenali sebagai Pac-Man membuat pengumuman rasmi bakal bertanding untuk jawatan Presiden dalam pilihan raya tahun depan.
Selain bergelar juara dunia dalam sukan tinju, Pacquiao juga merupakan senator di Filipina yang dicalonkan oleh serpihan parti pemerintah, PDP-Laban.
“Saya seorang pejuang dan akan terus berjuang walaupun di luar gelanggang,” kata Pacquiao memetik laporan Kosmo.
Di era kegemilangannya sebagai petinju, Pacquiao telah menjuarai lapan kategori sukan tinju bertaraf dunia, pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai senator Filipina.
Ahli politik yang dijuluki nama Pac-Man ini dilaporkan adalah penyokong tegar Presiden Filipina sekarang, Rodrigo Duterte.
Selain Pacquiao, parti PDP-Laban turut mencalonkan Duterte untuk bertanding sebagai Presiden pada penggal akan datang.
Pun begitu, Duterte tidak dibenarkan bertanding kerana perlembagaan Filipina hanya membolehkan Presiden memegang jawatan tersebut untuk satu penggal sahaja.
Walaupun berada di bawah satu parti, Pacquiao pernah lantang mengkritik Duterte terhadap polisi Presiden tersebut mengenai China dan aktiviti rasuah. Kritikan ini telah menimbulkan ketegangan antara kedua-dua ahli politik itu sejak Jun lalu.
Setakat ini, belum dapat dipastikan jika Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina bakal meluluskan pencalonan Pacquiao untuk pilihan raya 2022 akan datang.
Sumber: Kosmo