Siakap Keli

Sejarah Vaksin: Daripada Pembangunannya Di Tahun 70an Sehingga Ke Sudut Pandang Islam

Mascapada ini, vaksin merupakan antara isu hangat yang sentiasa menjadi tumpuan ramai bukan sahaja di Malaysia, malah melibatkan seantero dunia. Bicara soal vaksin, nyawa dan kesihatan menjadi taruhan utama menyebabkan isu ini perlu ditelusi dengan dingin kepala dan sedalam-dalamnya. Sebelum menelusuri dengan lebih jauh, mari kita fokuskan lensa kamera terhadap definisi-definisi vaksin dan latar belakang penciptaan awalnya terlebih dahulu.

Apa sebenarnya vaksin?

Menurut blog InfoSihat, vaksin adalah satu produk yang dihasilkan dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan, atau dari protein subunit pada virus. Bahan aktif dalam vaksin dikenali sebagai antigen yang berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) dalam tubuh badan manusia membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. Vaksin membantu sistem imun dengan melatih antibodi ini untuk mengenal pasti kuman-kuman tertentu supaya sistem imun cukup bersedia apabila tiba masa kuman sebenar menyerang badan anda.

Vaksin diberikan untuk membantu merangsang sistem ketahanan semulajadi badan bagi mengurangkan risiko mendapat jangkitan kuman atau virus. Dalam erti kata lain, ia menguatkan imuniti badan melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Dengan ini, sistem ketahanan badan menjadi lebih kuat. Orang ramai tidak perlu khuatir kerana vaksinasi adalah cara mudah, selamat dan berkesan untuk melindungi individu daripada penyakit berjangkit seperti yang disyorkan oleh pakar perubatan. Vaksin juga tidak akan menyebabkan jangkitan kerana ia mengandungi kuman atau virus yang dimatikan atau lemah. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diberikan.

Kredit: Bernama

Vaksin ternyata sudah wujud sejak zaman dahulu

Ternyata, penciptaan vaksin sudah wujud sejak beratus tahun lamanya. Banyak kajian yang dilakukan demi merawat penyakit-penyakit yang melanda masyarakat zaman dahulu. Dengan teknologi yang ada pada masa itu, vaksin mulai dicipta oleh pakar-pakar yang bertauliah.

Bermula pada tahun 1796, sejenis vaksin berjaya dicipta oleh Dr. Edward Jenner selepas beliau mendapati terdapat seorang gadis pemerah susu lembu pernah dijangkiti cacar lembu sehingga kemudian dia jarang menderita penyakit itu lagi. Tanpa berlengah-lengah, beliau telah menjalankan penyelidikan dengan mengambil beberapa titis cecair dari jangkitan cacar lembu lalu disuntik ke tangan seorang budak lelaki yang sihat. Setelah enam minggu, budak lelaki tersebut dipanggil semula dan disuntik dengan cecair dari penyakit cacar tetapi dia kelihatan sihat dan tidak dijangkiti penyakit cacar.

Wikipedia

Nama Dr. Edward Jenner dalam dunia perubatan sudah tidak asing lagi. Hasil penemuan beliaulah yang berjaya menghapuskan penyakit cacar yang membunuh jutaan rakyat Eropah pada masa itu, terutamanya kanak-kanak. Penemuan prinsip penting imunisasi ini telah diteruskan bagi jenis-jenis penyakit lain seperti difteria, penyakit anjing gila dan sebagainya.

ICIS
FOUNDATIONS IN MICROBIOLOGY – Talaro & Chess.

Penciptaan vaksin seterusnya berlaku pada tahun 1963. Pada masa itu, Maurice Hilleman disahkan mendapat virus beguk (mumps) yang juga menjangkiti anak perempuannya. Bagi merawat penyakit tersebut, virus dilemahkan melalui pengkulturan bersiri di dalam telur ayam berembrio. Sel tersebut kemudiannya dikulturkan di makmal dan dijadikan sebagai vaksin bernama Jeryl Lynn Mumps Vaccine.

Penciptaan Vaksin Abad 21

Kemunculan penyakit-penyakit baharu memang tidak dapat dijangka. Sekuat mana pun kita berusaha untuk menjaga diri, pasti tiba masa diberi ujian oleh Yang Maha Esa. Seperti yang berlaku pada ketika ini, muncul sebuah virus yang menggegar seluruh dunia dan meragut puluhan ribu nyawa manusia. Virus yang bermula di negara China telah merebak ke seluruh dunia sehingga menimbulkan ketakutan dan kerisauan dalam kelompok manusia. Virus tersebut dikenali sebagai Coronavirus Covid-19 yang sehingga kini masih aktif di beberapa buah negara.

Novel Coronavirus Covid-19

Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. Berdasarkan keterangan dalam portal USM, Coronavirus merujuk kepada satu kumpulan virus yang besar, merangkumi virus-virus lain yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia termasuk SARS-CoV (Severe Acute Respiratory Syndrome), MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome) dan virus-virus lain. Coronavirus terbaru yang ditemui di China adalah Coronavirus 2019 (Covid-19).

Perkataan Covid-19 itu sendiri sebenarnya bukan merujuk kepada virus tetapi merujuk kepada nama penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Coronavirus. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kemudiannya membuat keputusan untuk menamakan virus ini secara rasmi sebagai Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV). Bagi mengelakkan kekeliruan dengan wabak SARS yang melanda Asia pada awal tahun 2003, WHO telah menamakan penyakit yang disebabkan SARS-CoV ini sebagai Coronavirus Disease 2019 (Covid-19).

Virus Covid-19 pada awalnya hanya melanda bandar Wuhan, China namun malang tidak berbau apabila hampir seluruh dunia mulai dijangkiti virus ini. Kes pertama direkodkan pada November 2019 dan sehingga kini telah meragut nyawa jutaan manusia. Dunia sekarang sedang bergelut menentang virus baharu ini.

MySejahtera
MySejahtera
MySejahtera
MySejahtera

Simptom dan Kesan Buruk Covid-19

Menurut portal rasmi USM, simptom penyakit Covid-19 adalah tidak spesifik dan boleh dikategorikan daripada tidak mempunyai sebarang simptom hingga sangat teruk dan boleh membawa maut. Simptom akan mula ditunjukkan dalam tempoh 2 minggu selepas seseorang itu terdedah kepada virus ini. Berdasarkan analisis, kebanyakan pesakit Covid-1 9 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Malah, anggaran pesakit Covid-19 yang tidak menunjukkan apa-apa simptom adalah setinggi 78%. Perkara sebeginilah yang membuatkan ia sukar dibendung dengan cepat.

Bagi yang mempunyai simptom, menurut sebuah kajian daripada China, simptom yang paling kerap dilaporkan adalah demam (83.21%), batuk (61.74%) dan juga keletihan (30.22%). Simptom-simptom lain yang telah dilaporkan adalah seperti sakit sendi, penghasilan kahak, kesukaran bernafas, pening kepala, sakit tekak, mabuk, muntah, cirit birit, sakit dada, hidung tersumbat, selesema dan hilang selera makan. Untuk tahap jangkitan yang sangat teruk, pesakit COVID-19 boleh mendapat jangkitan paru-paru yang seterusnya menyebabkan radang kepada kantung udara paru-paru. Pesakit akan mempunyai kesukaran yang amat teruk untuk bernafas sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan. Biasanya, ia berlaku dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik lain atau sistem imunisasi yang rendah.**link kajian

Siapakah Yang Berisiko Tinggi Mendapat Jangkitan Covid-19?

Golongan berisiko adalah:
• Kanak-kanak
• Warga emas berusia 65 tahun ke atas
• Pesakit dengan penyakit kronik
• Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah
• Wanita hamil

Penemuan Vaksinasi Covid-19

Kita berasa beruntung kerana mempunyai organiasi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian dengan bantuan dari pakar-pakar perubatan pelbagai negara. Sejurus selepas munculnya virus Covid-19 ini, pakar-pakar penyelidik dari seluruh negara tidak henti-henti melakukan penyelidikan untuk mencari penawar bagi penyakit ini. Sikap mereka yang bagai aur dengan tebing ini telah membuahkan hasil apabila dua jenis vaksin berjaya dicipta. Vaksin-vaksin tersebut antaranya dikenali sebagai Pfizer BioNTech dan Sinovac. Penemuan vaksin ini memakan masa yang tidak terlalu lama tetapi sangat membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Kredit: Bernama

Vaksin Pfizer

Vaksin pertama ini adalah hasil gabungan dua buah syarikat farmaseutikal yang hebat & terkemuka. Pasti sudah terkenal oleh masyarakat kita malah di seluruh dunia, Pfizer merupakan sebuah firma gergasi yang bertaraf antarabangsa. Ia ditubuhkan semenjak tahun 1849 dan bertapak di bandar New York, Amerika Syarikat. BioNTech pula merupakan syarikat dari German yang ditubuhkan pada 2008 dan mempunyai kepakaran khas dalam bidang pembangunan vaksin (teknologi baru) jenis mRNA. Apabila kepakaran BioNTech ini digandingkan bersama syarikat seperti Pfizer – yang mempunyai pengalaman & kemahiran yang cukup luas dalam bidang perubatan – adalah tidak mustahil mereka mampu mencipta vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan WHO.  Menurut laporan semasa, vaksin Covid-19 Pfizer merupakan vaksin coronavirus pertama yang tiba di Malaysia – iaitu pada bulan Februari 2021. Justeru, ia telah digunakan untuk merasmikan Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.**link laporan

Vaksin Sinovac

Syarikat Sinovac ditubuhkan pada tahun 2001 dan bertempat di Beijing. Ia merupakan salah satu syarikat yang telah berjaya menghasilkan calon vaksin SARS ketika dunia diserang wabak selesema sekitar tahun 2002-2004. Ini merupakan sebuah hikmah memandangkan SARS dan COVID-19 merupakan suatu virus dari induk yang sama. Justeru penciptaan vaksin Covid-19 akan menjadi lebih mudah dan cepat. Sinovac juga merupakan salah satu syarikat farmaseutikal yang sangat terbuka kepada kerjasama antara negara. Hal ini dibuktikan dengan kolaborasi sulung mereka bersama Turki, Indonesia dan Brazil. Menariknya, syarikat tempatan kita juga (Pharmaniaga) bakal berkolaborasi dengan Sinovac setelah mendapat kelulusan dari Lembaga Farmasi Malaysia.

Kedua-dua vaksin ini mempunyai fungsi yang sama iaitu untuk mencegah badan kita dari dijangkiti virus COVID-19 dengan merangsangkan penghasilan antibodi spesifik keatas virus COVID-19. Malaysia akan menerima bekalan vaksin COVID-19 menerusi perjanjian dengan syarikat farmaseutikal dari United Kingdom, AstraZaneca dan syarikat Pfizer dari Amerika Syarikat.

Reaksi Penerimaan Masyarakat Terhadap Vaksin Covid-19

Bukan semua manusia berbesar hati untuk menerima vaksin, apatah lagi vaksin yang baru sahaja dicipta. Setiap kali penciptaan vaksin dilakukan, terdapat dua golongan yang berbeza pendapat dan tindak balas. Pertama, golongan yang mahu menerima vaksin sebagai penawar penyakit berjangkit. Golongan ini tidak menjadi masalah kerana mereka mempercayai ahli perubatan dan penyelidikan-penyelidikan yang telah dilakukan. Kedua, golongan yang tidak mempercayai vaksin atau dikenali sebagai anti-vaksin. Golongan ini tidak mahu menerima suntikan vaksin atas beberapa sebab yang entah itu betul atau pun tidak. Namun begitu, apakah sebenarnya punca golongan antivaks ini menolak vaksin walaupun sudah diberikan penerangan yang sedalam-dalamnya?
Memetik kenyataan Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Razak Abd Manaf dalam portal Astro AWANI, beliau berkata maklumat terlalu banyak dalam media sosial sehingga mengelirukan masyarakat juga antara faktor golongan antivaksin tidak mempercayai maklumat pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan (KKM). “Kekeliruan dalam masyarakat termasuk pemahaman maksud vaksin. Ini mungkin disebabkan kita jarang berhadapan dengan pandemik sebegini. Masyarakat jarang menerima vaksin, jadi apabila pemahaman kurang berkaitannya, maka pelbagai persepsi negatif dicetuskan,” katanya.
Beliau berkata pemikiran ‘optimistic bias’ iaitu beranggapan mereka tidak akan dijangkiti COVID-19 selepas divaksin juga menyebabkan ada masyarakat tidak mempercayai keberkesanan vaksin, apatah lagi selepas mengetahui kononnya ada kesan buruk vaksin yang tular menerusi media sosial. “Apabila terlalu banyak sangat yang bercerita negatif tentang kesan vaksin seperti masih dijangkiti COVID-19 walaupun sudah divaksin, ada yang meninggal selepas ambil vaksin, maka masyarakat tidak mempercayai vaksinasi akan membantu mereka terpelihara daripada COVID-19. Dalam pada itu, kepercayaan kepada informasi lain yang tular pula menjadi sandaran untuk melindungi mereka,” katanya.
Sementara itu, Pakar Psikiatri Hospital Pantai Sungai Petani Dr Mohammad Farris Iman Leong Abdullah berkata golongan antivaksin tidak suka mendapatkan informasi mengenai COVID-19 dan vaksin daripada sumber sahih sebaliknya gemar memperoleh maklumat berkaitan menerusi media sosial meskipun tanpa bukti kukuh. “Mereka juga gemar menyebarkan khabar angin yang diperoleh menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan aplikasi WhatsApp kepada orang lain melalui platform sama,” katanya.
Temubual bersama Dr. Malar melalui Siakap Keli TV membincangkan isu vaksin

Pelbagai isu dan mitos mengenai vaksin

Tidak dinafikan, setiap kali penciptaan vaksin dilakukan pasti ada sahaja isu dan mitos berkaitan vaksin muncul. Bukanlah menjadi sebuah kesalahan jika terdapat sekelompok manusia yang meragui keberkesanan vaksin tetapi perlulah besertakan bukti yang konkrit dan saintifik. Banyak isu dan mitos yang cuba disampaikan oleh segelintir manusia sehingga membuatkan mereka menjadi ragu-ragu terhadap vaksin. Walau bagaimanapun, itu sudah menjadi sebahagian hak asasi manusia untuk mempercayai atau tidak. Begitu juga dengan penemuan vaksin Covid-19 yang mempunyai dua golongan, iaitu golongan yang menerima dan golongan yang menolak atau lebih dikenali sebagai golongan antivaks. Sebenarnya, apakah yang bermain di fikiran golongan antivaks sehingga membuatkan mereka tidak mahu menerima suntikan vaksin?

Agenda Iluminati

Segelintir daripada golongan antivaks berfikiran bahawa penciptaan vaksin Covid-19 termasuk dalam agenda iluminati. Iluminati merupakan sebuah organisasi rahsia yang kononnya ingin menakluk dunia. Tetapi apa kaitannya agenda iluminati dengan penciptaan vaksin Covid-19? Mendengar ura-ura yang bertebaran di media sosial, penciptaan vaksin ini dikatakan merupakan salah satu daripada rancangan ahli organisasi Iluminati untuk mengurangkan jumlah penduduk dunia. Jika jumlah penduduk dunia berkurang, maka mudah bagi mereka untuk meletakkan manusia di bawah satu pimpinan sahaja seterusnya mengawal dunia. Fenomena ini disebut sebagai New World Order yang turut berkaitan dengan Dajjal dan pengikutnya. Dengan keadaan manusia yang kini berada di pengakhiran zaman telah membuatkan mereka semakin mempercayai agenda ini.

Teori Konspirasi

Banyak teori konspirasi mengenai vaksin Covid-19 yang bergentayangan di media sosial. Teori-teori tersebut membawa imej yang negatif terhadap penemuan vaksin yang kononnya boleh menyebabkan kemudaratan kepada manusia. Terdapat golongan yang mempercayai bahawa suntikan vaksin Covid-19 mengandungi mikrocip yang boleh mengawal pemikiran manusia hingga lupa kepada Tuhan dan mengubah DNA manusia. Selain itu, ada juga yang mempercayai bahawa kandungan vaksin ini diperbuat daripada bahan-bahan yang haram seperti alkohol dan babi.

Vaksin Dan Islam 

Penciptaan vaksin bukan semata-mata sains sahaja, tetapi turut mengambil kira pandangan Islam. Memandangkan agama rasmi negara Malaysia ialah agama Islam dan majoriti penduduknya juga menganut agama Islam, jadi setiap perkara yang timbul pasti berkaitan dengan kesensitivitan beragama, termasuklah vaksin. Masih ada sesetengah pihak yang cuba mempertikaikan keabsahan dan kehalalan vaksin itu.

Dalam laman web rasmi KKM ada menghuraikan dengan jelas berkaitan isu ini. Menurut portal tersebut, masih ramai orang awam khususnya orang Islam tidak tahu kewujudan kaedah Fiqh Islami yang khusus berkaitan isu penyucian bahan di dalam vaksin yang dikenali sebagai Istihalah dan Istihlak. Memetik kenyataan Dr Abdul Rahman A. Shukor, seorang pendakwah bebas, isu berkaitan kandungan unsur haram dalam vaksin sebenarnya telah lama dibincangkan sejak dahulu oleh para agamawan dan ulama, bahkan ia adalah “settled issue” dengan begitu banyak fatwa tempatan dan antarabangsa yang telah dikeluarkan mengenai vaksin. Konsep istihalak dan istihlak digunakan dalam menghuraikan fatwa mengenai isu vaksin.

Istihalah dan Istihlak

Istihalah ialah proses semulajadi yang memberikan kesan perubahan hukum (dari haram ke halal) kerana berubah zatnya iaitu bahan dari sumber yang haram yang telah berubah struktur kimia dan ciri fizikalnya kepada suatu unsur dan sifat yang lain, maka hukumnya adalah halal dan suci. Ini pandangan mazhab Hanafi dan dipersetujui oleh ulama tersohor Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan Sheikh Wahbah Al-Zuhaili.

Konsep Istihlak pula ialah bahan haram yang sedikit bercampur dengan bahan yang suci berlipat kali ganda sehingga menghilangkan sifat dan ciri-ciri asal yang terkandung dalam bahan itu. Bahan berkenaan telah rosak sifat dan ciri asalnya, walaupun zatnya masih kekal seperti mencampurkan setitis arak ke dalam air. Istihlak mempunyai kesan hukum sama seperti Istihalah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Murshidi Mohd Noor berkata, sebenarnya majoriti ulama kontemporari berpandangan bahawa istihalah dari khinzir masih dibolehkan dengan syarat proses istihalah itu berlaku dengan sempurna dan telah merubah zat asalnya kepada zat yang lain.

“Namun, sekiranya proses istihalah itu diragui akan keberhasilannya seperti proses perubahan zat asal tidak berlaku dengan lengkap, maka ia tidak dibolehkan. Perkara ini bergantung kepada proses istihalah yang berlaku sama ada lengkap atau tidak menerusi ujian makmal. Istihalah itu sendiri bermaksud satu proses perubahan dari satu zat kepada zat yang lain dan perubahan yang berlaku itu mengubah sama sekali sifat asal sesuatu zat.”

Menjaga Nyawa Lebih Penting

Masih memetik penjelasan daripada portal yang sama, iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, sekiranya vaksin itu mempunyai atau bercampur dengan unsur haram, Dr Abdul Rahman menjelaskan ia telah terbahagi kepada dua kategori hukum. “Pertama, jika ada vaksin lain yang lebih suci dan diyakini sumbernya, maka tidak boleh digunakan vaksin yang ada unsur haram. Perkara ini menjadi asas dalam fatwa-fatwa mengenai vaksin. Kedua, jika tiada vaksin alternatif yang suci tetapi keadaan bersifat darurat bagi menyelamatkan nyawa maka vaksin yang ada unsur haram dibenarkan kerana menjaga nyawa atau ‘hifz al-nafs’ adalah di antara objektif syariah. Ini bermakna sesuatu vaksin tidak semudah itu untuk diharuskan tanpa justifikasi yang kuat,” katanya.

Tambah beliau lagi, “Kita ambil contoh terkini, Malaysia bakal mengimport vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer. Difahamkan vaksin ini diperbuat daripada mRNA (vaksin yang tidak menggunakan virus hidup dari COVID-19) dan tidak terlibat dengan unsur haram. Keadaan ini melegakan semua pihak. Maka tidak timbul dakwaan vaksin COVID-19 diperbuat daripada unsur haram.

“Lagipun dalam pembuatan vaksin juga telah berlaku penyaringan, penyucian dan pemurnian berulang kali sehingga bahan asal itu tidak dapat dikesan pada peringkat akhir vaksin. Dengan kata lain, unsur asal haram tidak lagi menjadi kandungan bagi vaksin. Oleh itu, kita sebagai rakyat negara ini tidak perlu bimbang dengan pelbagai dakwaan tentang terdapat unsur haram dalam vaksin kerana MKI telah mengeluarkan pelbagai fatwa mengenai perkara ini daripada aspek hukum dengan jelas sekali,” katanya.

Berfikir Dengan Bijak

Setelah panjang lebar membincangkan isu vaksin pada kali ini, diharapkan ia dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami berkaitan isu vaksin yang sedang hangat ini. Setiap individu berhak untuk menentukan sendiri pilihannya, sama ada ingin mendapatkan suntikan vaksin atau tidak. Tetapi ia perlulah mempunyai alasan yang kukuh dan logik serta tidak membahayakan kesihatan orang lain. Orang ramai dinasihatkan untuk membuat pembacaan dan penelitian secara tuntas sebelum memutuskan sesuatu perkara. Bertanyalah kepada pakar-pakar perubatan atau ahli agamawan kemudian bertawakal kepada Allah. Pengambilan vaksin merupakan salah satu usaha kita untuk mencegah daripada bahayanya virus Covid-19. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

Rujukan

(1) A Brief History Of Vaccination, 2020, Sumber dipetik daripada https://www.immune.org.nz/vaccines/vaccine-development/brief-history-vaccination

(2) Vaksin Covid Menurut Perspektif Islam, 2021, Sumber dipetik daripada https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/01/vaksin-covid19-menurut-perspektif-islam

(3) Golongan antivaksin individu berfikiran negatif, tertutup minda, 2021, Sumber dipetik daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/golongan-antivaksin-individu-berfikiran-negatif-tertutup-minda-pakar-301837

(4) Ketahui Siapakah Pengeluar 11 Pengeluar Vaksin COVID-19 Dari Seluruh Dunia, 2021, Sumber dipetik daripada https://www.doctoroncall.com.my/health-centre/vaksin-covid-19/jenis-vaksin-covid19

(5) Soalan Lazim Berkaitan Covid-19, 2021, https://mysejahtera.malaysia.gov.my/vaccine/faq.pdf

(6) Vaksin COVID-19, 2021, Sumber dipetik daripada https://www.infosihat.gov.my/vaksin-covid-19.html

(7) Vaksin Covid-19 Tiada Mikrocip, Apatah Lagi Agenda Iluminati, 2021, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/vaksin-covid19-tiada-mikrocip-apatah-lagi-agenda-illuminati-khairy-282872

(8) 9 Fakta Mengenai Covid-19, 2020, Sumber dipetik daripada http://covid19.kk.usm.my/index.php/artikel/bacaan-umum/79-9-fakta-mengenai-covid-19

Hanis Lyana