Siakap Keli
Gambar Via Metro.co

Lebih 60 Penguin Spesis Terancam Ditemui Mati, Mata Dipercayai Disengat Lebah

Puluhan penguin yang dikategorikan sebagai spesis yang terancam dilaporkan mati setelah disengat oleh lebah.

Menurut The Sun, sebanyak 63 penguin ditemui telah disengat di bahagian mata.

Difahamkan, sengatan serangga itu ditemui semasa bedah siasat yang dijalankan ke atas penguin itu, malah, seekor penguin mati dengan kesan 27 sengatan pada badannya.

Bangkai kesemua penguin itu ditemui di ‘kawasan jajahan’ mereka yang popular iaitu berhampiran Cape Town.

Melihat keadaan itu, ahli konservasi meluahkan kebimbangan kerana ia akan meningkatkan risiko kepupusan spesis penguin tersebut.

Sementara itu, para saintis pada awalnya merasa bingung mengenai kematian besar-besaran itu. Namun, hasil pemeriksaan yang lebih lanjut mendapati bahawa haiwan malang itu telah disengat oleh lebah madu.

Doktor haiwan, David Roberts mengatakan bahawa sengatan lebah itu sangat kecil sehingga ia sukar untuk dikesan.

Gambar Via Metro.co

“Kami kemudian memeriksa bangkai penguin-penguin yang lain dan mendapati bahawa sengatan lebah masih ‘tertanam’ di sekitar mata mereka.

“Lebih daripada 20 sengatan dikesan pada beberapa ekor penguin,” katanya.

Tambahnya, kejadian seperti ini sangat jarang berlaku dan mengatakan bahawa ada juga lebah mati yang ditemui di tempat kejadian.

Ahli biologi marin, Dr Alison Kock pula mengatakan bahawa lebah tidak akan menyengat kecuali jika ia diprovokasi.

“Kami mengesyaki bahawa sarang atau kawanan lebah di kawasan itu telah terganggu dan menyebabkan sebilangan lebah ‘melarikan diri’ dari sarang dan menjadi agresif.

“Malangnya, ia telah bertembung dengan kumpulan penguin itu ketika terbang,” katanya.

Sumber: The Sun

Sofea

There's always another side to every story