Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Negeri Sembilan FC Tamatkan Kemarau Trofi, Muncul Juara Liga Premier 2021

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Negeri Sembilan FC akhirnya menamatkan kemarau panjang tanpa trofi apabila mengesahkan kejuaraan Liga Premier 2021 selepas menewaskan PDRM FC 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Ia merupakan kejuaraan pertama diraih skuad Hobin Jang Hobin selepas memenangi Piala Malaysia musim 2011 diikuti Piala Sumbangsih pada 2012, selain ia juga merupakan trofi kejuaraan liga kedua pasukan selepas mengungguli saingan sulung Liga Super pada 2006.

‘Pesta’ kejayaan Negeri Sembilan FC bermula pada minit ke-26 apabila pemain tengah R Barathkumar meledak gol pembukaan sebelum jaringan sendiri pertahanan PDRM FC Muhd Eskandar Ismail pada minit ke-39 meletakkan skuad bimbingan K Devan selesa mendahului 2-0 di separuh masa pertama.

Keghairahan tuan rumah terus terserlah pada separuh masa kedua dengan giliran penyerang import dari Cameroon, Alain Akono menyumbat gol ketiga pasukan pada minit ke-61 untuk jaringan kesembilan peribadinya musim ini.

Namun, dua gol pasukan pelawat dalam tempoh lapan minit menerusi G Durrkeswaran pada minit ke-64 dan Azrie Reza Zamri (minit ke-72) mengundang debaran sebelum Negeri Sembilan FC bangkit memperoleh gol keempat menerusi tandukan pemain gantian Mohammad Fahmi Faizal pada minit ke-76.

Tiada tambahan jaringan di Paroi sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan FC merangkul kejuaraan Liga Premier selepas mengumpul 41 mata keseluruhan dengan rekod 12 kemenangan, lima seri dan tewas tiga kali sepanjang 20 perlawanan.

Sementara itu, pencabar utama Sarawak United FC menutup kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II sekali gus terpaksa berpuas hati sebagai naib juara liga dengan 38 mata.

Pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, gol seawal minit keempat pemain import Uche Agba meletakkan Sarawak United FC di hadapan, namun gagal membawa pulang tiga mata penuh selepas Stuart Wilkin menyamakan kedudukan buat JDT II pada minit ke-84.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, jaringan tunggal Mohamad Hakim Ismail pada minit ke-19 memastikan Kelantan United FC mengutip tiga mata berharga selepas mengatasi Terengganu FC (TFC) II 1-0.

Kemenangan turut dilakar Kelantan FC dan Kuching City FC yang menundukkan lawan masing-masing untuk mengesahkan slot beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula Sabtu ini.

Kelantan FC menumpaskan Selangor FC II, 2-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV sementara Kuching City FC mengatasi Perak FC II 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sekali gus menyertai dua pasukan teratas sebagai lima pasukan terbaik Liga Premier yang layak beraksi dalam Piala Malaysia.

Satu lagi slot pasukan Liga Premier yang menjadi rebutan antara PDRM FC dan Kelantan United FC hanya akan ditentukan selepas pertembungan antara Kuching City FC menentang Kelantan United FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang merupakan aksi terakhir liga musim ini.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story