Siakap Keli

Waris Mangsa Kemalangan Terus Dibantu Dengan Faedah Perkeso

PUCHONG, SELANGOR – YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia bersama  Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini, menziarahi waris pekerja pengurusan  sisa pepejal yang meninggal dunia pada 21 Mei lalu, setelah mengalami komplikasi pada otak  akibat kemalangan pada 12 April 2020. 

Dalam kejadian malang tersebut, mendiang Viyaja Kumaran A/L T. Veerasamy, 52 tahun,  yang dalam perjalanan pulang bekerja dari ibu negara ke Puchong terlibat dalam satu  kemalangan jalan raya. Nahas tersebut menyebabkan mendiang mengalami kecederaan otak  traumatik teruk (Severe Traumatic Brain Injury) sehingga beliau terpaksa menjalani  pembedahan implan tempurung kepala sebelah kiri dan perlu menerima rawatan perubatan di  hospital. 

Prihatin dengan nasib yang menimpa mendiang, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.  Saravanan telah meluangkan masa bagi melawat dan menyerahkan sendiri faedah PERKESO  kepada mendiang di Hospital Kuala Lumpur, November tahun lepas. Kesemua kos  pembedahan implan berjumlah RM23,000 dan rawatan perubatan mendiang ditanggung  sepenuhnya oleh PERKESO. 

Selain itu, kes mendiang Vijaya juga telah dipantau rapi oleh Pengurus Kes, Program Return  to Work (RTW) PERKESO, di mana mendiang telah turut diberikan bantuan pemulihan di  bawah program rehabilitasi selama tiga bulan. Namun, umurnya tidak panjang dan mendiang menghembuskan nafas terakhir Mei lalu, kira-kira 13 bulan setelah kemalangan berlaku.  Sejurus pemergian mendiang, pihak PERKESO segera membuat semakan dan mendapati  caruman mendiang di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) memenuhi syarat kelayakan, membolehkan warisnya menerima faedah PERKESO di bawah Skim  Bencana Pekerjaan.  

Balu mendiang, T. Poongkoathai dan dua orang anak perempuannya, V. Thibaanageswari, 21  tahun dan V. Vishva Rubini, 19 tahun, yang masih di bangku persekolahan, layak menerima  Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM2,232 sebulan. Mereka juga layak menerima  Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.  

Walaupun kesemua faedah ini telahpun dibayar kepada waris sejak tiga bulan yang lalu,  Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan merasa begitu terpanggil untuk menziarah waris Vijaya di kediaman mereka di Taman Puchong Perdana bagi melihat sendiri keadaan  mereka semenjak kepergian mendiang. Datuk Seri M. Saravanan juga telah menyerahkan  sedikit sumbangan berupa Kotak Prihatin PERKESO kepada keluarga mendiang. 

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’  Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Komunikasi, Encik Izad Haji Raya, Pengarah PERKESO  Kuala Lumpur, Encik Mustafa Draman dan Pengurus Kes Kuala Lumpur, Encik Mustaqim Wali  Abdul Khalid. 

Faedah Orang Tanggungan (FOT) adalah faedah tunai bagi Skim Bencana Pekerjaan di  bawah Akta 4 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans  (OB) PERKESO meninggal dunia akibat bencana kerja. Contoh orang tanggungan  termasuklah balu, duda, anak berusia di bawah 21 tahun, ibu, bapa, adik-beradik, datuk  ataupun nenek. 

KSM dan agensinya, PERKESO menzahirkan rasa takziah dan simpati kepada waris  mendiang dan berharap bantuan faedah yang diberikan dapat membantu meringankan  bebanan mereka dalam meneruskan kehidupan seharian. 

Disediakan oleh: 

Bahagian Komunikasi Strategik 

18 September 2021 

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi Shafiq Adnan di talian  +6018 – 3246 720 atau S. Retnanathan di talian +6016 – 2555 602.

Siti Fatimah