Siakap Keli
Gambar: Google

Dijangka Raih RM 524 Juta Musim Ini, Ronaldo Diiktiraf Bintang Bola Sepak Dengan Pendapatan Tertinggi Di Dunia

Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dilaporkan telah mengatasi penyerang prolifik sensasi, Lionel Messi sebagai pemain bola sepak yang berpendapatan tertinggi di dunia.

Forbes melaporkan bahawa penyerang Portugal itu akan memperoleh AS$125 juta (RM 524 juta) pada musim ini iaitu AS$15 juta lebih banyak daripada Messi.

Ronaldo telah meninggalkan Juventus untuk bersama semula dengan bekas kelabnya iaitu Manchester United pada baru-baru ini dengan menandatangani kontrak selama dua tahun yang akan menyaksikannya mendapat gaji dan bonus sebanyak AS$70 juta setiap tahun.

Forbes juga turut melaporkan bahawa pemain berusia 36 tahun itu akan memperoleh AS$55 juta daripada pendapatan peribadi dan menjadi duta untuk jenama seperti Nike dan Herbalife, serta portfolio jenama CR7 miliknya yang merangkumi hotel, gimnasium, minyak wangi dan lain-lain lagi.

Lionel Messi jatuh ke tangga kedua dalam senarai pemain bola sepak terkaya Forbes walaupun selepas dia berpindah ke kelab Paris Saint-Germain.

Messi hanya memperoleh AS$75 juta menerusi kelab PSG. Walaupun begitu, penyerang berbisa Argentina itu masih lagi mengungguli carta bagi pemain bola sepak yang memperolehi gaji tertinggi di dunia.

Rakan sepasukan Messi dari PSG iaitu Neymar dan Kylian Mbappe masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat dalam senarai Forbes, sementara penyerang Liverpool iaitu Mohamed Salah berada di tangga kelima.

Robert Lewandowski, Andres Iniesta, Paul Pogba, Gareth Bale dan Eden Hazard melengkapkan kedudukan 10 teratas.

Sumber: Insider

Aqmal Ezany

I write what is right