TENOM, 23 Sept (Bernama) — Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di Sungai Padas, Kampung Kalandos Pangi di sini semalam, ditemukan petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata mayat Melvin Junaidi ditemukan orang awam di Sungai Padas Batu 60, Beaufort pada pukul 4.45 petang.
Beliau berkata mayat ditemukan kira-kira 33 kilometer dari lokasi kejadian bot karam itu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Kampung Binunuk untuk proses pengecaman oleh keluarga mangsa.
“Mangsa kedua yang dikenali sebagai Joseph Sayah, 55, masih belum ditemui, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam itu ditangguhkan pada pukul 4 petang tadi dan akan disambung keesokan hari,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Dalam kejadian petang semalam dua individu termasuk kanak-kanak itu dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di Sungai Padas, Kampung Kalandos Pangi di sini.
Sumber: BERNAMA